Sunday, January 14, 2007

FILEM DAN CITA-CITA SEKULAR

Dunia perfileman tahun 2006 ditamatkan dengan filem ‘Cinta’ dan ‘Cicakman’. Kedua-dua filem ini dilihat membawa dimensi baru dalam dunia perfileman Malaysia khususnya filem Melayu. Mungkin paling menarik untuk dibincangkan ialah filem ‘Cinta’. ‘Cinta’ memperlihatkan dimensi filem melodramatik Melayu yang berpusing 180 darjah daripada kebiasaan filem melodramatik Melayu. Filem melodramatik Melayu seringkalinya ‘memaksa-maksa’ untuk memeras simpati dan dipenuhi dengan pertengkaran suami isteri, keluarga, kekasih yang klise dan membosankan. Tetapi ‘Cinta’ memaparkan kehidupan cinta pasangan-pasangan daripada pelbagai latarbelakang usia, kelas sosial, dan perasaan melalui pergerakan kamera yang amat fotografik sifatnya. Ia bagai menjadikan mata penonton bergerak dari satu foto kepada satu foto, tanpa memaksa sebarang emosi untuk menerima atau menolak. Pergerakan fotografik filem ‘Cinta’ ini merakamkan kenyataan atau realiti kehidupan seharian masyarakat Melayu bandar di Kuala Lumpur, melalui perjalanan perasaan cinta dan kasih sayang yang platonik. Kehidupan dilihat dari sudut yang paling ‘organik, sentimental dan romantis’ – divisualisasikan melalui kaca sebuah kamera yang tidak memaksa sebarang emosi dan fikiran untuk memberikan sebarang hukuman terhadap kehidupan.

‘Cinta’ ternyata adalah sebuah filem yang cukup indah dari segi pelayaran emosi dan seni fotografiknya. Sentuhan Khabir Bhatia dan skrip Mira Mustafa serta ARA menjadikan ‘Cinta’ sebagai pengucapan filem dalam bentuk ‘art of verisilimitude’. Verisilimitude adalah konteks seni yang menampilkan seniman atau karyawan melukiskan kenyataan atau hakikat dunia ini sedekat atau serupa mungkin supaya ia bukan sahaja kelihatan benar atau seperti sebuah kenyataan tetapi cuba menjadi kenyataan itu sendiri. ‘Cinta’ cuba berada dalam ruang verisilimitude ini; memaparkan wajah masyarakat Melayu bandar dan kehidupan budaya mereka. Dari sisi yang lain, ia merakamkan etnografi masyarakat Melayu bandar melalui gerakan fotografik tersebut.
Namun, apakah benar ‘Cinta’ merakamkan kenyataan dan kehidupan sebenar masyarakat Melayu, dalam konteks etnografi masyarakat Melayu? Jika diteliti, ‘Cinta’ mempunyai kecenderungan untuk ‘mempropagandakan’ bagaimana masyarakat Melayu itu harus hidup dalam konteks Malaysia seperti yang dicita-cita oleh golongan tertentu. ‘Cinta’ menggambarkan nilai-nilai baru dalam masyarakat tradisional yang ditransmigrasi oleh persekitaran bandar pada hari ini. Maka ‘Cinta’ boleh dilihat sebagai sebuah filem saeculum iaitu filem yang bercerita tentang peristiwa atau kehidupan pada hari ini, ‘now’ and ‘present’. Saeculum melibatkan apa yang disebut sebagai peristiwa yang berlaku pada hari ini (contemporary events) dalam dunia manusia yang dipengaruhi oleh budaya kehidupan, realiti persekitaran dan konflik kehidupan. Lokasi yang dibawa dalam makna saeculum ialah dunia nyata pada hari ini, yang logik dan alamiah (natural) tanpa berakar kepada romantisme sejarah lalu.

Saeculum adalah perkataan Latin yang merupakan akar kata kepada perkataan ‘sekular (secular)’, yang kemudian berkembang menjadi idealogi sosial, ekonomi dan politik dunia yang sangat berpengaruh. Sekular mewujudkan manusia sebagai entiti yang beridentiti bipolar. Kehidupan terpisah daripada agama. Sebagai satu proses sejarah, sekular muncul dalam ketamadunan bandar (urban civilization) khususnya Barat, yang melihat kehidupan daripada sudut pandangan paling rasional. Maka sudut kehidupan beragama sering dianggap sebagai suatu di luar logik dan rasional. Dari sini agama sering dianggap sebagai elemen kemunduran dan ketertutupan pemikiran.

Di sini ‘Cinta’ secara sengaja dilihat menghilangkan rakaman ‘kehidupan beragama (Islam)’ masyarakat Melayu, yang merupakan teras kepada produksi budaya masyarakat Melayu. Budaya masyarakat Melayu adalah produk daripada kehidupan beragama (Islam) mereka. Jika ini dihilangkan, maka apakah rakaman kamera terhadap etnografi masyarakat Melayu dalam konteks verisimilitude benar-benar berlaku secara jujur? Adegan pasangan kekasih dan suami isteri meraikan hari bahagia mereka dengan gaya hidup Barat, dan minuman ala-champagne atau wine itu tentunya sesuatu yang keterlaluan dalam menggambarkan budaya masyarakat Melayu. Begitu juga seorang isteri yang boleh sahaja meninggalkan suaminya bila-bila masa tanpa merujuk kepada hukum syariat munakahat ataupun sebarang proses di mahkamah syariah, boleh dilihat sebagai gambaran yang palsu terhadap kehidupan budaya masyarakat Melayu. Paling buruk dua orang teruna dara boleh tinggal serumah di sebuah kawasan (setinggan) yang dihuni oleh majoriti masyarakat Melayu tanpa ditangkap khalwat atau menerima teguran daripada masyarakat – tentunya satu lagi gambaran palsu terhadap budaya masyarakat Melayu. Dan lakonan Amani yang bukan sahaja jelek, tetapi amat tidak senonoh dengan cara berpakaian dan lakon gerak yang ‘begitu gila’ untuk berpeluk dengan lelaki, adalah usaha untuk mengaburkan sempadan perlakuan devians dan perlakuan normal dalam budaya masyarakat Melayu. Dengan lakonannya yang dipaksa-paksa dan huru hara, Amani tidak lebih hanya sebagai alat ‘propaganda sekular’ dalam filem ini (agak meragukan bagaimana pelakon ini menerima anugerah pelakon terbaik?).

Islam adalah teras kepada budaya masyarakat Melayu, maka jika ia disembunyikan atau dihilangkan maka gambaran yang dipaparkan adalah palsu. ‘Cinta’ adalah gambaran palsu budaya masyarakat Melayu. Ia gagal wujud sebagai verisilimitude etnografi masyarakat Melayu. Dari sudut lain, ‘Cinta’ telah mengingkari konsep verisilimitude, lantaran gagal merakamkan hakikat budaya masyarakat Melayu yang beragama dan akhirnya lebih terlihat sebagai sebuah propaganda sekular.

Kesan daripada penjajahan, Malaysia muncul sebagai sebuah Negara-bangsa bermasyarakat majmuk. Sebuah Negara-bangsa harus berdiri daripada latar masyarakat homogenus. Maka sebuah cita-cita untuk melahirkan masyarakat homogenus hanya tercapai dengan wujudnya rakyat Malaysia yang tidak beridentitikan bangsa atau kaum – truly Malaysian. Lantaran itu wujudnya kelompok tertentu di Malaysia yang percaya bahawa metodologi ‘sekular’ adalah cara terbaik untuk menyatukan hubungan etnik di Malaysia dan melahirkan ‘the truly Malaysian’. Apatah lagi Islam yang dipropagandakan sebagai ‘jahat dan merbahaya’, dilihat adalah halangan kepada cita-cita ini. Dengan itu sebuah konsep tanpa agama (Islam) perlu dihadirkan untuk menarik semua etnik dalam masyarakat Malaysia menyertai hubungan harmoni ini. Maka sebuah masyarakat ‘truly Malaysian’ akan wujud dalam ikatan rasa sepunya iaitu – sekularisasi. Apabila sebuah filem yang ingin dirakam difikirkan harus dapat mengadakan suatu bentuk nilai sepunya untuk melibatkan semua golongan etnik ke dalamnya, maka beberapa elemen terpaksa disembunyikan. Paling penting untuk disembunyikan ialah kehidupan beragama masyarakatnya. Maka kamera itu kini sedang mencipta sebuah rakaman palsu etnografi masyarakat Melayu. Tanpa kehidupan beragama dan wujudnya norma-norma ‘imaginasi’ baru yang diinspirasi daripada suasana dan pemikiran Barat – liberal dan sekular.

Golongan yang percaya kepada metodologi sekular sebagai cita-cita pembinaan dan penyatuan masyarakat ini disebut sebagai golongan vernacular cosmopolitan. Mereka melihat perkembangan sejagat hari ini melalui perpekstif marginal. Mereka membesar di bandar kosmopolitan, terputus daripada akar tradisi dan keperibadian bangsa, dan hidup berdikari dalam semua segi. Dari sudut lain, mereka juga merupakan natural anarchist. Vernacular cosmopolitan ini merupakan produk daripada kolonialisme. Kerancuan budaya, tradisi dan agama akibat dibinasakan oleh penjajahan melahirkan produk dan golongan yang ‘tercedera’. Golongan ini hilang keyakinan terhadap keunggulan sejarah mereka, dan memiliki keinginan untuk membina keunggulan baru. Mereka memiliki cita-cita kehidupan demokratik yang bergerak daripada aliran pemikiran marginal dan minoriti. Dengan itu, mereka mempercayai sesuatu yang baru, rasional dan liberal harus diinstitusikan dalam masyarakat. Semua status qou dipandang sebagai tembok-tembok kemunduran yang membeku kehadiran kebijaksanaan dalam masyarakat. Malangnya, agama dan tradisi juga dianggap status qou yang menyekat kemajuan masyarakat. Maka itu, golongan ini memiliki kepercayaan dan cita-cita sekular yang teguh untuk menghadirkan nilai-nilai baru menggantikan nilai-nilai lama termasuk kehidupan agama!

Dan ‘Cinta’ menghilangkan Islam daripada kehidupan budaya masyarakat Melayu – kerana sebuah ‘imaginasi’ terhadap sebuah masyarakat Melayu yang baru – rasional, liberal dan sekular.