Friday, July 07, 2006

LEGASI LYCURGUS

Athens dan Sparta merupakan dua buah negara kota yang menjadi inti kepada tamadun Yunani. Athens dibentuk menjadi sebuah negara demokrasi oleh Solon setelah diangkat menjadi pemimpin Athens pada 594SM. Solon ialah seorang sasterawan yang kemudian menjadi negarawan dan ahli undang-undang yang paling terkemuka. Solon menyusun undang-undang dasar yang bersifat demokratik, yang kemudiannya menjadi asas kepada demokrasi moden hari ini. Sementara Sparta pula adalah kota tua pada zaman Mycena (1600SM-1200SM) yang diperintah untuk menjadi sebuah negara tentera. Perang Troy yang masyhur itu dikatakan dilancarkan dari Sparta setelah Helen, isteri Raja Menelaos diculik oleh Paris di Sparta dan kemudiannya menyebabkan perang yang hebat itu pun bermula. Perang yang menjadi epik besar di tangan Homer ini memunculkan tokoh-tokoh epik seperti Archiles, Hector, Odyseus dan sebagainya.

Pada tahun 800SM muncul seorang tokoh setengah dongeng yang bernama Lycurgus di Sparta. Lycurgus menyusun perlembagaan Sparta yang bersifat aristokratik ketenteraan. Perlembagaan ini disusun untuk memenuhi cita-cita Lycurgus membina sebuah Negara tentera yang kuat dengan kehidupan warganegaranya diatur dan dikendalikan oleh negara. Setelah menyusun perlembagaan Sparta. Lycurgus meminta kepada seluruh warga Sparta agar berjanji untuk tidak mengubah suatu apa pun daripada perlembagaan yang telah disusunnya itu. Setelah warga Sparta bersumpah setia dengan permintaan Lycurgus itu, maka Lycurgus pun menghilangkan diri dari Sparta dan tidak kembali lagi. Maka warga Sparta pun terikat dengan sumpah setia untuk tidak mengubah perlembagaan Sparta yang telah dibuat oleh Lycurgus itu.

Mahathir mula memegang tampuk pemerintahan Negara pada 16 Julai 1981. Apabila Mahathir melepaskannya kepada Pak Lah pada 31 Oktober 2003, sebuah legasi yang kukuh bukan sahaja berakar selama tempoh 20 tahun di dalam sistem pemerintahan Negara melalui dasar dan polisi yang diperkenalkan tetapi juga menjadi dokrin yang sangat perkasa di dalam pemikiran rakyat Malaysia. Seperti Lycurgus, Mahathir bercita-cita membina sebuah Negara yang kuat dengan kehidupan warganegaranya diatur dan dikendalikan oleh Negara. Dan seperti Lycurgus juga, setelah menyusun segala dasar, polisi serta arahan, Mahathir melepaskan jawatannya dengan ‘sumpah setia’ yang ditagih untuk tidak mengubah suatu apa pun daripada apa yang disusunnya. Apabila susunan yang terbentuk itu dilanggar maka Mahathir kini menjadi ‘Lycurgus yang kembali’ untuk menagih segala sumpah setia yang dilanggar itu.

Sesiapa pun tidak dapat menafikan bahawa Mahathir telah meninggalkan sebuah Negara yang makmur dan maju selepas pemerintahannya selama dua dekad. Mahathir adalah seorang nasionalis jalur keras yang kemudian meningkatkan dirinya menjadi seorang nasionalis ekonomi yang berusaha untuk menukarkan Malaysia daripada sebuah Negara yang berasaskan komoditi pertanian kepada sebuah Negara perindustrian baru di bawah pimpinan usahawan-kapitalis bumiputera. Dua dekad pemerintahan Mahathir, telah membawa nasionalis-idealis bertukar menjadi nasionalis-kapitalis yang menyaksikan perubahan anjakan pemikiran yang cukup besar. Mahathir mempunyai persona politik dan idealogi yang cukup hebat sehingga menjadikannya sebagai seorang nasionalis yang paling ke hadapan dalam seluruh generasi yang ada pada waktu itu. Sebagai seorang ‘self made-man’ yang amat mengagumkan Mahathir berusaha untuk ‘membesarkan’ kedaulatan bangsa yang kecil ini tinggi di puncak dunia – dengan kepercayaan yang kuat kepada kesaktian kuasa kapitalis, liberal dan sekular. Tanpa melihat label (kapitalis, liberal dan sekular) sebagai justifikasi moral, kepercayaan Mahathir ini telah memunculkan suatu bentuk aliran dalam persekitaran politik iaitu – Mahathirisme. Aliran ini menekankan suasana liberal dan sekular dalam persekitaran hidup masyarakat dengan kunci sakti kepada segala kemakmuran terletak kepada ekonomi – yang dikawal oleh pengembangan kuasa kapitalisme di atas segala kepentingan lain.

Pertengahan tahun 1980-an Mahathir memperkenalkan Dasar Pensyarikatan Malaysia (Malaysia Inc.) yang menyaksikan badan-badan milik kerajaan diswastakan. Pensyarikatan Malaysia yang menetapkan golongan bumiputera sebagai peneraju-penerajunya adalah idea yang amat baik dalam konteks perjuangan nasionalisnya. Namun keghairahan ini telah mengundang kehadiran ‘dosa’ yang tidak pernah dianggap besar iaitu sikap tamak, angkuh, dan kegilaan terhadap kuasa. Dosa ini tidak pernah difikirkan sebagai suatu perkara yang besar dalam situasi politik mana pun. Walau akhirnya ia adalah punca kepada segala kejatuhan kemudiannya.

Pensyarikatan Malaysia menghadapi masa yang sukar terutamanya dalam pertengahan 1980-an sebelum mencapai kejayaannya dalam dekad 90-an. Skandal BMF menyaksikan kehilangan RM2.5 billion melebihi nilai modal sebenar bank iaitu sebanyak RM1.22 billion, oleh pinjaman ‘istimewa’ oleh Carrian Group, Kevin Hsu Group dan Eda Investment Ltd. Mahathir memberikan jawaban yang mudah, ‘BMF tidaklah berbeza dari hampir semua bank yang menghadapi masalah daripada kejatuhan nilai hartanah di Hong Kong’. Pada 18 September 1986, skandal Maminco yang melibatkan pelaburan besar dalam dagangan pasaran bijih timah dunia mencatatkan kerugian RM660 juta yang disedut daripada dana awam di Bank Bumiputra dan Malayan Banking Bhd. Skandal Maminco menyaksikan keputusan-keputusan ‘tersembunyi’ dan kewujudan ‘pembeli misteri’ yang akhirnya tidak dapat dikesan dan dibuktikan apabila ia menyedut kerugian. Pasaran saham yang merudum antara tahun 1985 dan 1986 telah membawa khabar tentang ‘nasihat’ Menteri Kewangan ketika itu, Daim Zainuddin untuk KWSP memasuki pasaran bagi menyokong pasaran yang semakin tenat. KWSP memasuki pasaran saham dan akhirnya kehilangan RM141 juta. Daim tidak mahu memberikan sebarang ulasan dengan menyatakan bahawa Kementerian Kewangan tidak bertanggungjawab di atas keputusan KWSP. Kehilangan wang simpanan pekerja ini ditambah sebanyak RM10 juta lagi oleh skandal Makuwasa pula. Mahathir turun memberi jawapan pada 18 September 1986 dengan menyatakan tindakan menggunakan wang KWSP itu adalah untuk mengganti wang Bank Bumiputra yang dipinjamkan kepada Maminco. Beberapa keadaan yang sama terus menyaksikan kerugian besar oleh keputusan-keputusan autokratik yang tidak telus seperti penggantungan Pan-El di Bursa Saham Singapura yang melibatkan kegagalan pembayaran sebanyak RM400 juta. Tan Koon Swan, presiden baru MCA menerima padahnya berikutan skandal ini. Sekali lagi MCA terheret apabila berlakunya skandal Kosatu iaitu koperasi yang bertindak mengutip deposit sebanyak RM156.1 juta daripada 53 ribu pendeposit. Kosatu menghadapi masalah.

Kehilangan jumlah besar wang rakyat oleh keputusan ‘beberapa orang’ secara tidak telus menyaksikan permulaan dasar-dasar Mahathir yang sering tidak memperkirakan prinsip dan amalan demokrasi. Apabila Mahathir mempersoalkan keputusan-keputusan Kerajaan sekarang – yang sebenarnya lebih demokratik dan terbuka – ia lebih menampakkan keterlupaan Mahathir terhadap apa yang pernah dilakukan sepanjang pemerintahannya. Sepuluh tahun pemerintahan Mahathir tidak lebih baik daripada apa yang berlaku sekarang. Sementara sepuluh tahun lagi menyaksikan dua perpecahan besar di dalam UMNO sehingga mewujudkan parti Semangat 46 dan Keadilan. Kerajaan di bawah Pak Lah dan Najib sekarang dilihat lebih bertungkus lumus memperbaiki banyak kerosakan yang dilakukan oleh Mahathir. Kedua-dua pemimpin ini memerlukan masa dan peluang untuk memperbaiki kerosakan terlebih dahulu sebelum dapat menjana pencapaian gemilang pada masa hadapan. Walaupun kelihatannya kedua-dua pemimpin ini mewarisi Negara yang stabil daripada Mahathir, namun pada hakikat sebenarnya tubuh politik dan ekonomi yang ditinggalkan oleh Mahathir kepada penggantinya tidak lebih daripada sebuah belon kembung yang boleh meletup pada bila-bila masa.

Sebuah ‘perlembagaan Lycurgus’ perlu dilihat kembali dan dimansuhkan sebahagiannya yang nyata membebankan. Yang paling wajar dimansuhkan ialah ‘arahan’ mewajibkan penggunaan bahasa Inggeris sebagai pengantar di dalam mata pelajaran sains dan matematik. Kerajaan pada hari tidak perlu terikat dengan ‘sumpah setia Lycurgus’. Paling penting ialah menumpukan kepada masalah besar yang dihadapi rakyat terutamanya kesan kenaikan harga petrol, tariff elektrik dan tol yang mengurangkan keupayaan kuasa beli rakyat, kenaikan kadar inflasi serta pengangguran. Ketiadaan ‘bahan’ yang dapat menjana serta menggerakkan ekonomi dan aliran modal luar yang menipis adalah antara perkara yang lebih penting daripada mempertahankan ‘legasi Lycurgus’ yang membebankan. Jika Kerajaan sekarang dapat mengatasi keadaan yang sulit ini, rakyat sudah tentunya akan bersama-sama Kerajaan tanpa dapat diganggu gugat oleh mana-mana pihak sekalipun.

Jika Lycurgus kembali, keadaan hari ini tidak mungkin dapat menerimanya lagi. Namun kenyataan di dalam epik-lagenda Sparta – Lycurgus menghilang dari Sparta untuk selama-lamanya.