Wednesday, November 29, 2006

HUBUNGAN KAUM YANG PALSU DI MALAYSIA 2

Sesuatu yang pasti di Malaysia pada masa sekarang ini ialah betapa sukarnya untuk melihat masyarakat daripada kaum yang berbeza menjadikan duduk berbual sambil makan bersama, berkunjung-kunjungan, menjalankan kegiatan sosial secara bersama sebagai rutin kehidupan atau gaya serta cara hidup mereka. Apa yang paling jelas kelihatan ialah setiap kaum akan berkelompok di dalam kaum masing-masing dan berhubungan dengan kaum lain apabila melibatkan keperluan dan kepentingan yang tidak dapat dielakkan. Ini memperlihatkan bahawa polarisasi kaum di Malaysia pada masa ini menjadi semakin kritikal. Dalam ertikata lain hubungan kaum di Malaysia semakin renggang dan diikat oleh hubungan-hubungan yang palsu. Dua bentuk hubungan antara kaum yang dilihat berlaku ialah hubungan yang melibatkan keperluan ekonomi dan hubungan yang melibatkan keperluan politik. Selain daripada itu setiap kaum memisahkan diri daripada kaum yang lain dan hidup memperkuatkan kepentingan diri serta kaum masing-masing.
Lebih malang lagi sukan dan budaya, iaitu dua bidang yang boleh memisahkan kepentingan ekonomi dan politik dalam membina hubungan antara kaum juga kini, secara tidak sedar semakin memperluaskan jurang dan berkecenderungan untuk berpecah serta berkelompok mengikut identiti kaum. Hubungan antara kaum yang erat dan mengesampingkan kepentingan ekonomi atau politik mungkin juga berlaku di Malaysia, tetapi dalam peratusan yang sangat kecil. Sebahagiannya berlaku secara jujur di kalangan masyarakat tetapi sangat kecil (termasuk ikatan perkahwinan). Sebahagian lagi berlaku secara kebetulan iaitu berlaku di kalangan golongan menengah atasan di bandar kosmopolis dan metropolis seperti Kuala Lumpur dan beberapa buah bandar lain. Namun di bandar metropolis seperti Georgetown, Johor Bharu, Ipoh hubungan kaum mula kelihatan menjadi hubungan yang palsu. Secara umumnya hubungan antara kaum dalam kelompok elit atau menengah atas terutama antara golongan yuppies yang liberal, sekular dan hedonistik adalah hubungan metropolis atau kosmopolis yang hanya dipunyai segolongan kecil elit yang berkongsi jiwa liberal, sekular dan hedonistik. Hubungan ini sebagai contoh mudah, mungkin terlihat dalam dunia seni seperti kumpulan filem indie, teater Inggeris, media elektronik (bloggers, laman web, dan sebagainya), media konvensional yang terkeluar daripada arus perdana dan forum-forum alternatif yang anti-establishment. Dalam kehidupan biasa hubungan ini melibatkan hubungan bersifat ekonomi dan kepakaran yang melibatkan kepentingan yang tidak boleh dielakkan. Jika boleh dielakkan mereka lebih memilih untuk berhubungan dengan kaum mereka sendiri.

Pemahaman budaya dan pegangan sesebuah kaum sekarang ini semakin jauh untuk difahami oleh kaum yang lain. Lebih malang lagi kejahilan dalam memahami budaya dan paling penting pegangan agama dilihat pula sebagai kebijaksanaan. Maka kejahilan yang dungu ini mula membina tafsiran yang tersendiri melalui pandangan atau andaian yang salah. Andaian salah ini berlaku apabila model pemikiran yang berkiblatkan Barat dan diikat oleh kepercayaan contohnya, ‘sosialisme-liberal ala-mazhab Frankfurt’ menjadi kanta untuk melihat segala perlakuan budaya dan pegangan agama yang ada di Malaysia. Sebagai contoh apabila muncul pemahaman bahawa sesiapa sahaja boleh mentafsir al-Quran, cukup untuk menjelaskan tentang kejahilan yang paling terkutuk telah berlaku pada hari ini. Sikap ‘hollier than thou’ golongan ini, atau yang merasakan mereka lebih bijak dan tahu daripada rakyat yang lain tidak membawa apa-apa yang baik dan bermanfaat untuk masyarakat. Maka mereka menjadi comprador Gramsci fasa kedua, yang berpaksikan ‘minda tertawan’ yang meletakkan kekaguman maha hebat terhadap liberalisme-sekular penjajah Barat. Hal ini menjadikan jurang perbezaan bahkan prasangka semakin besar.

Keadaan menjadi tambah buruk apabila muncul golongan intelektual yang ingin menjadi selebriti mengecohkan hal-hal yang berkaitan agama Islam, hak-hak bumiputera, ekuiti dalam dasar ekonomi serta perkara-perkara sensitif yang telah dimaktubkan dalam Perlembagaan sebagai konsensus yang dipersetujui bersama dalam membina sebuah Negara-bangsa Malaysia – maka hubungan kaum yang sedia nipis menjadi berkocak. Golongan intelektual ini sebenarnya ‘bodoh dan dungu’ lantaran melihat sesuatu isu itu tersebut hanya dalam cawan kopi atau teks kepakaran mereka tetapi bukannya konteks hubungan yang menyeluruh yang melibatkan implikasi sensitiviti kaum, hubungan sejarah, corak politik dan cara berfikir masyarakat. Memperagakan kehebatan mereka dalam kepakaran undang-undang, ekonomi, sains sosial dan sebagainya tidak menjadikan mereka pemikir yang bijak dalam mencorakkan keharmonian dalam masyarakat tetapi sebaliknya lebih menjadikan mereka sebagai skizofrenik yang mengalami suatu bentuk ‘celebrity complex’ yang gila untuk menonjolkan diri, masyhur dan terkenal.

Akibat daripada apa yang berlaku ini maka golongan politik, iaitu golongan yang dianggap arrogant, dungu dan korup oleh golongan intelektual dan masyarakat menyambar peluang untuk mempergunakan golongan intelektual, elit dan masyarakat seluruhnya demi kelangsungan kepentingan politik mereka. Maka tiba-tiba muncullah perjuangan untuk memperjuangkan kepentingan kaum masing-masing. Bahkan pemimpin politik yang tidak pernah memijak masjid atau tokong tiba-tiba menjadi jaguh dan pejuang ‘berani mati’ mempertahankan masjid, tokong atau kuil yang tidak pernah pun dipedulikan dalam realiti kehidupan mereka.
Suasana politik Malaysia hari ini masih tidak berubah dari suasana politik abad ke-20 apatah lagi mahu bergerak ke hadapan (sebaliknya sentiasa kembali untuk bergerak ke belakang). Ia masih berpegang kepada kuasa ajaib sentimen perkauman. Pemimpin parti GERAKAN yang tua itu apabila dicabar kepimpinannya, segera menimbulkan isu perkauman dan akhirnya mengekalkan kuasanya. Begitu juga dengan parti-parti BN yang lain MIC, MCA semuanya hidup dengan kejayaan memanipulasikan sentimen perkauman. MCA paling tidak pun cukuplah dengan isu bumbung sekolah SRJKnya. Paling jaguh tentunya UMNO. Tiba-tiba Perhimpunan Agung UMNO dipenuhi pejuang-pejuang jihad Melayu yang menjulang keris dan buku tangan untuk mempertahankan orang Melayu. Maka isu ekonomi yang merudum, rasuah, penyelewengan yang menggila pemimpin-pemimpin UMNO disapu ke bawah permaidani buruk sentimen perkauman. Sedangkan keistimewaan bumiputera pada hakikatnya adalah keistimewaan orang-orang UMNO dan bukannya keistimewaan orang-orang Melayu seluruhnya. Sebahagian besar orang Melayu mengalami nasib yang sama dengan kaum bukan Melayu malahan mungkin lebih buruk (jika ia dari pihak pembangkang) apabila mereka melalui proses biasa dalam menggelumangi hidup seharian.

Perbezaan seorang Melayu biasa dengan seorang Melayu UMNO untuk mendapat gerai atau tender memotong rumput dari mana-mana majlis daerah atau perbandaran seperti perbezaan seorang buta dan seorang celik yang berjalan di atas sebuah titi. Keistimewaan bumiputera juga merupakan sebuah silap mata yang unik.

Juga tidak ada bezanya dengan parti pembangkang. DAP yang kononnya parti demokratik tidak lebih daripada ‘old guard’ sentimen chauvinistik Cina yang paling kolot. Tanpa sentimen perkauman chauvistik Cina dan kaum bukan Melayu, DAP akan mati. Begitu juga dengan PAS, beberapa dekad memerintah Kelantan tetapi masih tidak dapat mewujudkan dirinya sebagai sebuah ‘government in waiting’. PAS hanya mampu untuk menjadi pembangkang dan hidup sebagai parti kampung dalam lingkungan daerah orang-orang Melayu. Keadilan pula, perjuangannya tamat apabila Anwar Ibrahim dibebaskan. Keadilan cuba menjadi ‘melange of social organization’ tetapi akhirnya tidak lebih daripada menjadi beca buruk dengan segala logo dan cap – kepala lembu patah tanduk, roda tanpa jejari, bulan tiga suku, tukul tanpa sabit, dacing senget, roket tanpa buntut – bercelaru untuk mempunyai segalanya.
Inilah realiti politik Malaysia, diktum yang mewakili ‘a (false) normative demand rather then empirical reality’. Dengan polarisasi kaum yang semakin kritikal, kejahilan untuk memahami budaya dan pegangan yang lain, sikap merasakan lebih bijak daripada yang lain, ketiadaan akar peribadi, ketololan mencipta tafsiran, kebodohan sejarah, kegilaan liberalisme-sekular hedonistik, celebrity complex, chauvinistik dan kedunguan memahami geo-historis akan membuatkan kepentingan-kepentingan politik yang kuno itu akan sentiasa hidup daripada kuasa ajaib sentimen perkauman.

15 Comments:

Blogger Puan Ainon Mohd. said...

Saudara,

Baru kali ini saya ambil usaha meninggalkan nota saya di blog sdr. Bolehkah warna hitam skrin saudara ini ditukar sebab dengan tulisan putih ia mencipta kesan kontras warna yang menyukarkan pembacaan!

1:17 AM  
Blogger smzakir said...

Terima kasih di atas saranan yang baik. InsyaAllah saya akan menukarkannya. Tetapi saya tidak berapa mahir 'menukar-nukar' apa yang ada di blog ini. Perlukan bantuan kawan, nanti.

9:08 AM  
Blogger Puan Ainon Mohd. said...

Terima kasih atas persetujuan saudara menukar skrin blog saudara.

Saya memang sudah lama membaca blog saudara sebagaimana saya membaca blog-blog sasterawan angkatan muda lain yang penting-penting dan berpengaruh ke atas pemikiran sesama muda, sebab saya mahu mengetahui idea-idea yang menjadi fokus mereka dan jalan pikir orang muda-muda.

3:52 AM  
Blogger mohamadkholid said...

setuju dengan sdr. hubungan kaum lebih menjurus kepentingan. jika kita lihat, sungguh pun melayu islam seperti mendapat hak istimewa tetapi kaum lain (baca - india dan cina) lebih mempunyai keistimewaan di swasta seperti bank. dan lebih malang lagi - ada orang melayu sendiri yang lebih percaya produk dan perkhidmatan serta kuasa beli kaum lain. pada saya hubungan ini hanya setipis kulit bawang...

4:52 AM  
Blogger Sahrunizam said...

Salam,

Parti politik berasaskan kaum merupakan penyumbang yang maha besar dan maha dahsyat kepada hubungan palsu sebagaimana yang saudara maksudkan.

Rakyat marhaen hanya mengikut heretan tali yang diikat kat hidung mereka.

7:10 AM  
Blogger Brett Manning said...

Hi,
Gambar Janda bertudung bogel klik disini Web Hosting Providers:

8:34 AM  
Blogger Pakcik said...

Saya kurang setuju, ya betul berlaku kepincangan tak jelas dalam isu perkauman dan dipolitikkan tapi mahukan kita jadi seperti Indonesia??

Lama dulu ketika dipegang Suharto, Indonesia dikeraskan untuk tidak menimbulkan soal agama dan perkauman. Ini mengamankan Indonesia berdekat-dekat lamanya. Ekonomi Indonesia memuncak ketika itu.

Bila Suharto jatuh masing-masing menggila menuntut hak yang tidak tidak semata-mata mahu memenangkan kaum dan agama sendiri. Cakap sudah tak berlapik, yang terbuku dihati dihambur keluar dan akhirnya sistem kemasyarakatan yang dulu aman, musnah sekelip mata.

Disebalik terlalu banyak persamaan mereka justeru mencari perbezaan. Ko jawa aku pun jawa, ko islam aku pun islam tapi ko kampung lain makan kita harus berbalah. Begitu ker yang kita mahu??

Di mana-mana negara sekalipun, kaum minoriti biasanya lebih gigih dan tekun. Lihatlah anak bangsa kita, rosak dan pemalas, manusia beginikah yang hendak diangkat dikasihan kasihankan? Jangankan kaum lain melihatnya, kaum sendiri pun bencikan golongan ini.

Hubungan itu bukan palsu tapi memang telah tercerna dari awal lagi dan yakinlah tidak ada di mana-mana dunia pun negara yang memakai formula ini dan ianya berkesan.

Pandanglah Singapura, kenapa kaum melayunya boleh meju setanding dengan kaum lain??

Jadi sebelum melihat kudis orang lain, ubatlah dulu kudis kita..wallhualam ..abis

9:44 AM  
Blogger thanaif said...

Assalamualaikum Saudara Smzakir,

Terimbas sebuah cerita tentang seorang bapa bersama anak-anaknya.
Berbudi dengan cekal dari tulang empat kerat,bapa ini telah berjaya menghasilkan dari kebunnya tanaman yang dikongsikan hasilnya dengan penduduk kampung selain menjadi rezeki yang lumayan kepada keluarganya.Caranya kerana keluasan tanah bapa ini memerlukan pekerja, hasil jualan dijadikan punca rezeki,kebajikan berterusan kerana pengeluaran zakat dengan memberi orang miskin merasa hasil tuaiannya.
Sayangnya dari kebolehan berfikir anak-anaknya berasa pemberian secara percuma itu hanya akan mengurangkan hasil dan hak mereka dan memperingatkan bapa "Kami akan dijatuhkan sengsara hingga akan mengemis-ngemis sama seperti mereka."
Syukur ada seorang anak pula berkata
"Usah bersangka ikut dugaan minda semata,harta dunia tidak mutlak milik kita,kebun yang luas amanat Allah untuk diusaha,andai ikut aturan agama,hasil tuaian mesti diurus sesempurna yang mampu,tanpa melupa yang melarat biarpun tiada datang mengadu.Burung juga ada haknya menikmati biar hanya sehama butir hampa bijirin tanaman kita. Oleh itu usah bersanggah pada hak kerana ia bermakna mungkir pada suruhan Allah." Bapa pula menyahut,
"Pesanku cuma dua amanat "Jika kamu mempergunakan nikmat denganbaik Allah akan menambah nikmatmu namun bila bakhil menyelimutimu memperguna nikmat dengan cara yang salah nikmatmu akan diambilnya semula.Kamu semua tidak akan terlepas dari PenglihatanNYa."
Sesudah itu anak-anak ini mempusakai harta bapa yang telah meninggal dunia...
Di hari menuai hasil dari pohon yang melebatkan buah sekali lagi bergema nada "Saat ini tiada lagi baagian buat yang suka meminta atau miskin sengsara,milik kita secara bebas bagaimana mahu memperguna."
Balas anak yang muda usia,"Rencana dari fikiranmu jelas salah akan membawa keburukan kepada masyarakat kita,bala yang menimpa adalah dari rasa hasad iri yang mungkin akan terbetik di dada mereka yang berasa ada hak pada usaha kita,bencana hilang aman lenyap rasa damai iatu yang sengsara...ingatilah pesan bapa berikan hak pada yang berhak biarpun merka hamba.
Pendekan cerita saudara yng tua tetap dengan pendiriannya... seawal pagi tatkala mahu mengutip hasil jelas kelihatan buah-buah yang kering layu tanpa sebiji dapat dikutip..."Bagaimana petang kelmarin masih rimbun menghijau dengan ranum buah kini tiada lagi yang tinggal..."Disambut ujaran... Telah Allah menghukum kita kerana rela berbuat aniaya... segalanya mudah buatNya cuma kita yang sering alpa kerana terlupa..."

Jelas bahawa 'teori' dari penghayatan risalah Al-Quran tetap bersifat alamiah-prinsip dari sistem bercirikan sementara (kebangsaan) akan ditelan masa tetapi sistem keadilan yang bersifat alamiah (taqwa membezakan manusia) akan kekal sesuai sepanjang masa kerana sesuai untuk setiap rupa bangsa...

Selamat berlebaran di aidil adha.
Salam ukhuwwah dari saya suami dan anak-anak.

2:47 PM  
Blogger mxypltk said...

Bagaimmana nak contact saudara melalui e-mail?

2:35 AM  
Blogger mxypltk said...

Saudara,

Ini ada saya bangunkan tribute utk karya S.M. Zakir.
http://www.geocities.com/corgan1978/index2.htm

Maaf, kalau ada perlu tambah, hubungi saya di: abdhakim@kck.usm.my

1:57 AM  
Blogger smzakir said...

emel saya smzakir90@hotmail.com

2:12 AM  
Blogger Jimadie Shah Othman said...

amboi, lamanya cita2 sekular ni.

12:22 AM  
Blogger jihadaku said...

Melayu tampa sedar ke satu bersatu, hairan,kembali dan JELAS HEBAT!!

5:35 PM  
Blogger jiwafaham said...

Salam dari saya.

Terima kasih dapat berkongsi maklumat

2:07 AM  
Blogger S.M. Zakir said...

blog baru saya ialah http///smzakirsayapmatahari@blogspot.com

blog ini saya tak dapat buka lagi. Hilang password dan tak dapat nak kesan.

7:24 AM  

Post a Comment

<< Home