Friday, June 09, 2006

MAHATHIRISME VS BAHASA MELAYU

Khoo Boo Teik melalui bukunya Paradoxes of Mahathirism (1995) melihat ideologi politik Datuk Seri Mahathir Mohamad (kini Tun) sebagai suatu yang dipenuhi paradoks dan enigma. Mahathirisme melihat kepada nalar nasionalisme, kapitalisme, Islam, populisme dan autoritarianisme. Nasionalisme Mahathir dipenuhi paradoks. Daripada ultra Malay yang memperjuangkan perjuangan kebangsaan tanpa kompromi, Mahathir bertukar untuk menentang nasionalisme kemudiannya melalui dasar penswastaan dan dasar ekonomi liberal. Kapitalisme menjelaskan tentang ideologi Mahathir terhadap kekuasaan wang dan modal yang didoktrinkan di dalam pemikiran orang Melayu dan masyarakat Malaysia keseluruhannya. Islam Mahathir pula adalah tafsiran dan pemahaman semula melalui raison d’etre dan bukan lagi agama yang menyatukan semua urusan kehidupan sebagai addin atau tassawur al-kulli. Mahathir lebih mendukung prinsip sekularisme. Populisme menjelaskan sikap Mahathir terhadap keputusan-keputusannya yang kontroversi dan keinginannya terhadap sokongan rakyat secara popular. Sementara autoritarianisme memperlihatkan pemerintahan autokratik dan diktatorik Mahathir sepanjang lebih dua dekad tersebut. Ini semua menjelaskan tentang gelombang mahathirisme yang menukarkan bukan sahaja wajah fizikal Negara dan rakyat Malaysia tetapi juga ruang psikologikal yang membentuk set-set baru di dalam struktur pemikiran dan kepercayaan sebahagian besar masyarakat Malaysia.

Mahathir dilihat sebagai nasionalis yang mempunyai visi besar untuk membawa bangsa dan Negaranya menjadi bangsa dan Negara yang maju di bawah pimpinan kapitalis dan usahawan Melayu (bumiputera) yang ampuh. Dalam masa yang sama Mahathir juga adalah satu watak yang kecewa terhadap pencapaian bangsa Melayu, dan bahkan juga dirinya sendiri. Jon Swain menyebut karakter Mahathir dibentuk secara bawah sedar melalui pernyataannya bahawa Mahathir, “has made an art form of snubbing the Anglophone world because his nationalism almost certainly stems from his early education, when he failed to gain admission to read law in Britain”.

Mahathir membesar bersama visi dan raison d’etre yang tersendiri. Mahathirisme melihat keunggulan Barat – walaupun ia mencemuh dan mengeji tetapi paradoksnya ia adalah contoh dan cita-cita – sebagai satu-satunya model untuk mencapai kemajuan. Kemajuan harus wujud melalui suatu bentuk ‘Renaissance Eropah’ yang berlaku di Malaysia dan menjadi instrumen bagi menjana pembangunan intelektual besar-besaran. Ia kemudiannya mewujudkan kelebihan dan keistimewaan terhadap pemikiran saintifik yang akan menggeraklajukan proses perubahan ke arah kemajuan yang ulung. Mahathir memegang tampuk kuasa pada fasa kedua Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang telah mencapai kemajuan daripada beberapa sudut. Pembinaan fasa kedua DEB oleh Mahathir ‘lari’ daripada perjuangan nasionalisme yang menjadi pengisian fasa pertama DEB kepada binaan ekonomi liberal, sekular dan kontra-nasionalisme. Bagi melaksanakan keputusan ini Mahathir telah membaiki sistem demokratik dengan cara membaiki sistem autoritarian. Fasa kedua DEB ini memperlihatkan apa yang disebut sebagai ‘bureaucratic authoritarian state in newly industrializing country’. Daripada asas-asas pemikiran ini Mahathir kemudiannya menawarkan Wawasan 2020nya yang meletakkan matlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara maju dengan kemajuan perindustrian yang pantas, liberalisasi ekonomi, dan pengaturan semula dasar-dasar sosial. Mahathirisme adalah penciptaan sebuah bangsa Malaysia yang berpaksikan ideal sekularisme, liberalisme dan kapitalisme di bawah subjek authoritarianisme. Ia melihat pergelutan Malaysia di dalam persaingan antarabangsa yang dicengkam simulacrum globalisasi.

Mahathirisme kemudiannya melihat bahasa Melayu sebagai suatu bentuk agen tradisi yang menghalang ke arah cita-cita idealnya. Suatu bentuk renaissance tidak akan muncul jika agen-agen tradisi ini tidak dihapuskan terlebih dahulu. Agen tradisi dilihat sebagai perwakilan kepada kebudayaan atau keperibadian tempatan yang menentang semangat culture of liberalism yang membuatkan pluralisme dapat berfungsi. Pluralisme adalah binaan sifat baru hasil daripada perlakuran kebudayaan, pemikiran dan kepercayaan yang menghancurkan segala bentuk keperibadian, keaslian dan kesahihan sebelum ini. Maka kecelakaan sejarah bahasa Melayu berlaku pada titik pengumuman Mahathir untuk menukarkan bahasa pengantar sains dan matematik kepada bahasa Inggeris. Di situlah puncak kepada pelaksanaan ideal mahathirisme yang memerangi segala bentuk nasionalisme, keperibadian tradisional dan asas-asas bangsa, sejarah dan prinsip kepercayaan demi mewujudkan sebuah metanaratif baru yang disebut sebagai ‘postmodern bourgeois liberalism’.

Kehancuran bahasa Melayu hari ini adalah satu-satunya terletak kepada keputusan politik yang salah. Tiada sebab lain. Keputusan Mahathir untuk menukarkan bahasa pengantar sains dan matematik itulah yang menyebabkan berlakunya kehancuran kepada bahasa Melayu atau bahasa kebangsaan. Maka satu-satunya jalan untuk memperbaiki dan memperkasakan kembali bahasa kebangsaan ialah mengembalikan fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar untuk matapelajaran sains dan matematik sepertimana dahulu. Tiada tindakan yang lebih wajar dan berkesan selain daripada tindakan ini. Mempersalahkan mana-mana pihak, masyarakat dan persekitaran hanya adalah bumbu bombastik yang mengelak daripada melihat hakikat yang sebenar. Mahathirisme tidak dapat dinafikan sebagai sebuah gerakan pemikiran yang amat hebat terhadap gagasan politik dan ekonomi tetapi dalam masa yang sama adalah sebuah kegagalan ideologikal yang paling besar terhadap prinsip ketamadunan. Keputusan melaksanakan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris adalah sebuah Freudian slip seorang Mahathir terhadap kehebatan hegemoni Barat dan bukan cita-cita seluruh rakyat Malaysia. Ia adalah sebuah keputusan autokratik daripada seorang Mahathir yang percaya bahawa matlamat negera terletak di bawah telunjuk seorang ditaktor. Hal ini dapat dilihat daripada kenyataannya dalam ‘Crime for Democracy’, rencana Bob Reece yang mengutip kenyataan Mahathir, Far Eastern Review, 18 September 1969, p. 68. (Khoo Boo Teik, 1995).

Why not call a spade a spade? Why not say bravely that the people of Malaysia are too immature for a workable democracy? Why not say that we need some form of authoritarian rule? We are doing that anyway and it looks as if we are going to do that for a very long time to come…. Authoritarian rule can at least produce a stable strong government…. We must accept that there is not going to be a democracy in Malaysia; there never was and there never will be.

Bahasa Melayu harus kembali kepada fungsi asalnya sebagai bahasa pengantar pendidikan kebangsaan dan bukan seharusnya menjadi korban kepada keputusan salah seorang diktator yang terperangkap di dalam ruang kabur postmodern bourgeois liberalism yang tidak melihat kewujudan demokrasi serta aspirasi kebangsaan bangsa yang merdeka.

1 Comments:

Blogger thanaif said...

Assalamualaikum Sdr Zafir,

Tahniah ! Hebat kerana membuktikan realiti ketajaman intelek berperanan memberi fungsi kepada pencapaian pemahaman yang mendalam yang dibangkitkan dari keyakinan diri.Satu lagi realiti adalah sememangnya wujud insan-insan berpendidikan yang terbiar hasil dari penarafan makna dan status kelayakan pendidikan.

Wajar keberanian menyuarakan pandangan dan menyatakan pendirian tidak dilihat sebagai penentang, tetapi sebagai proses memperbaiki kekhilafan dengan mencari ruang peluang untuk mempelbagaikan cara agar sesuatu yang lebih bermanfaat dapat dilahirkan.
Cuma analisa terhadap sosial bangsa kita kurang difahami...
Pelupusan makna penghayatan Islam sering difokus kepada rupa kulit luaran juga bentuk bentuk amalan seperti yang lumrah...(musabaqah) dan seumpamanya... hingga makna ibadah terpisah dari kewajarann ia mesti dilihat sebagai tuntutan yang menguatkan zahir dan batin.Lalu pengulangan memberikan tafsiran yang silap terhadap perlaksanaan syariah sebagai membelakangi kemajuan dunia moden,mengundur tanpa mahu mara bersaing dan sempit haluan arah cenderung pemikiran dihadapkan untuk ditelan hadamkan oleh generasi.Atau lebih popular ia diberi tanggapan sebagai ekstrim kerana mempelopori pengislahan yang menjadikan jihad sebagai kekuatan. Ini tidak benar dan harus ditampilkan keberanian yang jujur untuk menangkisnya.
Pemupukan sikap sabar akan membentuk taqwa kerana penerusan untuk meperjuangkan antara hak dan batil akan berterusan tetapi bukan dalam makna yang difahami oleh massa kini. Menerusi pertukaran pandangan akan memberi ruang yang lebih luas untuk dihayati makna diplomasi kerana hubungan diplomatik sejak sekian lamanya masih dibelenggu oleh cita cita politik untuk menguasai secara 'radikal' yang dihasratkan dari pentafsiran agama yang silap hingga berakar umbi persengketaan.

Generasi baru yang semakin bijak dari penguasaan ilmu hasil pendidikan yang semakin menyerlah kelemahan dan penyelewengan dasar dasar sesuatu ideologi, mesti menyakini seluruh peradaban dan tamadun yang memertabatkan kemanusiaan meluhurkan nilai moral akhlak akan memastikan kekuatan bukan dari ketenteraan semata-mata tetapi pengukuhan ekonomi yang adil, yang melahirkan pengurus berdinamik untuk jujur mengagihkan dan menyalurkan keuntungan untuk masyarakat.
Bahasa amat berperanan untuk memberi fokus bagaimana minda generasi harus berpaksi kerana kemajuan teknologi akan menjadi tanda pengenalan keupayaan mereka beraksi.Media dan info dari internet memerlukan pengendali yang berupaya membebaskan diri mereka dari syak prasangka dan gambaran negetif yang meluaskan pintu pergeseran.

9:53 PM  

Post a Comment

<< Home