Wednesday, June 07, 2006

‘MAHARAJA’ DI DALAM PERSATUAN BELIA


Seorang Maharaja China yang agung Shih Huan Ti terkenal dengan pembinaan Tembok Besar Negeri China dan maharaja yang pertama dapat menyatukan seluruh China yang berpecah belah pada ketika itu. Shih Huan Ti memerintah dengan kejam sekali. Ratusan ribu buruh dan banduan mati ketika membina Tembok Besar. Shih Huan Ti membunuh musuh-musuhnya dengan kejam. Seluruh keluarga bahkan semua penduduk kota atau kampung akan dibunuhnya jika terdapat penentangnya di kalangan mereka. Menjelang hari-hari terakhir hidupnya Shih Huan Ti mengerahkan panglima-panglimanya mencari air hikmat yang boleh menjadikannya hidup selamanya. Shih Huan Ti tidak mahu melepaskan kuasanya. Shih Huan Ti juga mengarahkan dibina ribuan patung tentera, kuda dan istana untuk disemadikan bersamanya. Kerana Shih Huan Ti berharap dia akan terus menjadi maharaja agung setelah mati pun. Shih Huan Ti mahu berkuasa selama-lamanya walaupun setelah dia mati. Kuasa bagi Shih Huan Ti adalah miliknya yang kekal. Shih Huan Ti dikatakan mati dalam keadaan yang tidak berapa siuman.
Pergolakan di dalam persatuan belia sejak akhir-akhir ini lebih menjurus kepada kompleksiti yang dialami oleh Shih Huan Ti. Kompleksiti manusia yang melihat kuasa adalah milik kekal mereka. Malah jika boleh, seperti Shih Huan Ti mereka juga mahu berkuasa walaupun reput ditelan tanah. Inilah komplesiti pemimpin-pemimpin belia yang amat parah dan tenat tersebut.
Umur 45 tahun adalah batas yang paling objektif dalam mendefinisikan had usia belia. Persatuan belia wajib dipimpin oleh golongan belia bukan oleh ‘maharaja’ yang sakit seperti Shih Huan Ti. Apabila persatuan belia dipimpin oleh pemimpin yang sudah tidak menjadi belia lagi maka fungsi persatuan belia juga tidak akan terarah lagi kepada kepentingan dan pembangunan belia sebaliknya menjadi flatform kepada kepentingan peribadi pemimpin tua tersebut. Pemimpin belia harus terdiri daripada golongan belia itu sendiri, kerana mereka lebih memahami keperluan dan kehendak golongan belia. Lebih daripada itu persatuan belia adalah ruang kepada pembentukan golongan pelapis yang akan mengambilalih kepimpinan pada masa akan datang. Apabila pemimpin persatuan belia dipegang terus-menerus oleh pemimpin yang sama tanpa had dan batas usia maka ruang untuk melatih pemimpin muda telah ditutup rapat.
Seorang pengkaji dalam bidang linguistik Benjamin L. Whorf menegaskan bahawa manusia melihat dunia dan realiti kewujudannya dari segi pemikiran dan kesedarannya. Realiti pula mempunyai lapisan dan peringkat yang boleh disusun dalam bentuk yang disebut sebagai ‘concentric circles’ atau bulatan sepusat. Bulatan yang terkedalam merupakan realiti yang paling hampir dengan diri. Kemudian lapisan bulatan realiti itu meningkat-ningkat keluar semakin jauh sehingga bulatan realiti yang terkeluar sekali merupakan realiti yang paling jauh dari diri. Luar bulatan adalah ruang di luar ruang litup realiti dan kesedaran diri. Realiti terkedalam adalah subjek yang paling hampir dengan cerapan kefahaman sementara realiti yang paling jauh adalah subjek yang samar ehwalnya dan sedikit pengetahuan terhadapnya.
Pemimpin muda dalam lingkungan umur belia merupakan bulatan ke dalam yang lebih tahu dan rapat dengan permasalahan belia. Mereka berada di dalam realiti terkedalam iaitu subjek yang paling hampir dengan cerapan kefahaman permasalahan belia. Sementara pemimpin tua yang melepasi objektif had umur ini adalah realiti yang paling jauh dan merupakan subjek yang samar ehwalnya dan sedikit pengetahuan terhadap segala permasalahan belia. Maka mereka tentunya bukan calon yang layak lagi untuk memimpin persatuan belia.
Dalam pada itu, perkara kedua yang sering menghantui kegiatan NGO termasuk persatuan belia ialah campurtangan politik atau penglibatan orang politik dalam menentukan hala tuju dan kepentingan badan-badan tersebut. Adalah menjadi satu hal yang sangat malang apabila keputusan-keputusan politik menjadi pencatur kepada matlamat dan gerakan persatuan belia yang bersifat NGO ini. Kepentingan belia tidak harus dikorbankan oleh kepentingan politik mana-mana pihak. Apabila kepentingan politik yang bersifat partisan itu diletakkan sebagai matlamat yang paling asas, maka kepentingan belia yang bersifat neutral dan semulajadi akan ditindas. Menurut Tan Sri Mohd Ghazali Shafei dalam satu petikan ucapannya berkenaan pembangunan belia, beliau menyatakan apabila pembangunan belia tidak diasaskan kepada kesedaran dan hasrat Negara tetapi sebaliknya kerana didorong oleh nafsu tamak akan kekayaan dan keselesaan diri sendiri atau mana-mana kumpulan tertentu, maka pembangunan belia itu sendiri akan mewujudkan apa yang disebut sebagai ‘counter-productive’, yang dalam ertikata lain, pembangunan yang dibawa itu boleh membawa kegelisahan dan penentangan daripada belia itu sendiri.
Petikan ini tepat untuk menyatakan bahawa kepimpinan belia yang berdiri di atas kepentingan individu dan partisan akan membawa penentangan daripada belia sendiri. Penentangan ini boleh berlaku secara langsung mahupun tidak langsung. Secara langsung ia akan mewujudkan segolongan belia yang cenderung kepada radikalisme sementara secara tidak langsung ia akan menjauhkan sebilangan besar daripada golongan belia untuk menyertai mana-mana persatuan belia. Hal ini semuanya akan menimbukan kesan negatif terhadap pembangunan belia. Penglibatan politik partisan di dalam persatuan belia dan lebih buruk lagi apabila ia melibatkan usaha mendapatkan mileage politik tertentu dalam konteks kepentingan peribadi akan mengakibatkan kemerosotan dan kemunduran pemikiran bukan sahaja di dalam persatuan belia tersebut bahkan dalam diri belia-belia itu sendiri. Kepimpinan belia pada hari ini harus diterajui oleh golongan belia yang secara objektif di dalam had umur di bawah 45 tahun, tidak berpihak kepada mana-mana kepentingan politik partisan, neutral dalam ertikata lain tidak condong membuta tuli kepada satu-satu ideologi secara fanatik dan melampau, dan akhir sekali tidak memperjuangkan sebarang kepentingan peribadi atau menjadikan ia mileage kepada kepentingan lain.
Persatuan belia selalunya dilihat sebagai landasan kepada kuasa dan kepentingan yang lebih besar. Apabila pemimpin yang melihat kepada kepentingan ini gagal melompat ke ruang besar tersebut maka merupakan suatu hal yang penting untuk mereka berusaha mengekalkan kedudukan mereka agar terus berada di dalam persatuan belia. Ini selain daripada memberikan mereka peluang untuk terus mencuba, juga dapat menyelamatkan mereka daripada ‘lenyap dan pupus’. Kebanyakan pemimpin persatuan belia yang ‘gagal’ ini merupakan mereka yang tidak mempunyai kebolehan dan keupayaan untuk melonjak ke dalam ruang yang lebih besar. Lantaran itu mereka tidak mampu untuk menjadi dewasa dan terpaksa bergantung kepada dunia belia dengan menyamar menjadi belia yang bocah itu selama-lamanya. Analogi ‘maharaja’ tersebut mungkin melihat secara terpencil terhadap apa yang berlaku dalam kepimpinan belia hari ini tetapi dari sisi yang lain ia juga boleh menjadi anologi yang umum terhadap kepimpinan pada peringkat yang lebih besar. Tetapi apa yang paling ingin dinyatakan di sini bahawa pemimpin-pemimpin belia yang sudah melewati usia belia dan membawa kepentingan peribadi demi mileage politik tertentu harus segera meletakkan jawatan mereka untuk memberi ruang kepada kepimpinan muda yang non-partisan, neutral dan lebih akrab dengan permasalahan belia. Jika tidak mereka hanya akan tenggelam dalam kompleksiti ‘maharaja’ yang boleh saja mula membina patung dan istana untuk dibawa bersama ke makam mereka.
Lebih malang, mereka jauh lebih kerdil dan kecil daripada Shih Huan Ti untuk membina sebarang makam yang dapat memuatkan segala patung dan istana.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home