Wednesday, June 07, 2006

ANTARA KEPENTINGAN NASIONAL DAN ETNIK

Apabila Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu digubal pada tahun 1948, asas politik yang diletakkan adalah politik perwakilan kaum. Setiap parti politik ditubuhkan untuk mewakili kaum yang terlibat dalam proses politik Tanah Melayu iaitu Melayu, China dan India. Setiap pemimpin politik mewakili suara dan kepentingan kaum masing-masing. Persekutuan antara kaum-kaum ini membentuk Parti Perikatan yang kemudiannya muncul sebagai parti pemerintah sehingga sekarang ini dan bertukar nama menjadi Barisan Nasional. Komponen daripada Barisan Nasional ini ialah parti-parti politik yang mewakili kepentingan kaum Melayu, Cina dan India. Apabila kemerdekaan dicapai sehinggalah wujudnya Malaysia pada 1963, politik perkauman terus menjadi asas kepada proses politik di Malaysia baik dalam entiti parti pemerintah mahupun entiti parti pembangkang. Secara positif, politik perkauman ini menyumbang kepada konsep dan prinsip integrasi nasional dan menolak prinsip asimilasi seperti yang diamalkan oleh beberapa Negara tetangga yang turut berada di dalam gelombang kemerdekaan. Proses integrasi ini dapat membina penyatuan tanpa membuang keperibadian asal mana-mana kaum. Namun kesan negatifnya juga turut wujud apabila perjuangan untuk menegakkan kepentingan kaum masing-masing mula melahirkan sentimen-sentimen perkauman dan akhirnya mewujudkan pihak pelampau perkauman.

Dalam mengukuhkan perpaduan sebuah negarabangsa yang baru dan diasaskan kepada sifat-sifat majmuk itu, maka satu keperibadian yang bersifat nasional atau keperibadian kebangsaan diwujudkan. Ia diwujudkan bagi mengikat sifat-sifat majmuk yang berdasarkan keperibadian etnik ini di bawah satu keperibadian nasional yang dapat dipegang dan dihormati oleh semua warganegara. Walau bagaimanapun keperibadian kebangsaan yang diasaskan kepada keperibadian rumpun alam Melayu mengalami satu proses yang panjang untuk ditanam di dalam hati setiap warganegara terutamanya warganegara daripada etnik bukan Melayu sebagai keperibadian kebangsaan yang menjadi identiti kepada semua rakyat Malaysia.

Hal ini berlaku kerana pemikiran politik berasaskan kepentingan kaum yang menjadi acuan kepada pembinaan negarabangsa Malaysia ini sering melihat segala tindakan politik melalui sudut pandang perkauman. Ia sentiasa melihat sesuatu tindakan secara prejudis dan bias. Politik perkauman yang menjadi asas kepada proses politik ini sebenarnya adalah salinan kepada kerangka kolonialisme Barat yang berasaskan prinsip ‘pecah dan perintah’ (divide and rule). Kerangka pemikiran ini menjelaskan tentang kekuasaan politik yang dapat diperolehi melalui eksploitasi terhadap seberapa banyak perbezaan yang dapat diwujudkan di dalam masyarakat atau rakyat. Saling tidak memahami dan perasaan curiga menjadi senjata yang amat berkesan dalam menguasai ruang politik.

Dua peristiwa yang berlaku baru-baru ini memperlihatkan gelung pemikiran lama yang berasaskan kerangka kolonialisme itu masih menjadi penguasa yang amat perkasa dalam ruang politik Malaysia. Peristiwa warga China didera oleh polis tiba-tiba menjadi isu nasional yang sangat besar adalah contoh tentang bagaimana sentimen perkauman itu telah mengatasi kepentingan nasional. Kes penderaan yang boleh dikatakan sebagai kes terpencil ini diangkat seolah-olah ia menjadi amalan pihak berkuasa yang melakukan diskriminasi terhadap etnik tertentu. Tanpa memikir dan mempertimbangkan kesan terhadap masyarakat dan Negara, isu ini menjadi sentimen parti politik untuk meraih sokongan daripada kaum tertentu yang diwakili mereka. Ini secara tidak langsung memperlihatkan sikap politik yang prejudis dan berkecenderungan chauvinistik dari era lama itu masih kukuh dalam pemikiran dan aplikasi politik Malaysia dalam abad ke-21 ini.
Peristiwa Moorty semakin jelas memperlihatkan bahawa pemikiran politik perkauman (agama) yang dibawa dari era lama itu terus menjadi sandaran dalam menentukan keutamaan tindakan-tindakan politik. Situasi atau isu yang dapat dimanfaatkan untuk mendapat sokongan politik daripada kaum yang diwakili segera menjadi agenda paling penting dalam perjuangan politik melangkau kepentingan nasional. Memorandum dan usul untuk meminda perlembagaan yang melibatkan kuasa mahkamah syariah dan mahkamah sivil di atas perjuangan memenangkan kepentingan kaum telah membelakangkan bukan sahaja perlembagaan yang menubuhkan institusi Negara tetapi juga rukunegara itu sendiri. Tindakan ini dilihat tidak mempedulikan kepentingan nasional yang memperjuangkan kepentingan untuk semua kaum tetapi lebih selesa untuk memberikan keutamaan terhadap kepentingan kaum yang diwakili hatta memusnahkan ikatan Negara yang diasaskan kepada kontrak sosial yang dipersetujui sebagai dasar pembinaan Negara bangsa Malaysia.

Kedua-dua isu ini memperlihatkan realiti politik pada hari ini sedang melebarkan jurang perbezaaan masyarakat dan akhirnya meraih keuntungan politik terhadap perpecahan dan perluasan jurang antara masyarakat tersebut. Sehingga hari ini sentimen perkauman menjadi senjata yang sangat perkasa kepada mana-mana parti politik untuk menguasai ruang politik Malaysia. Oportunis-oportunis politik sentiasa menjadikan sentimen perkauman sebagai ‘tangan dewa’ untuk mencapai cita-cita politik mereka. Bahkan dalam suatu keadaan pemimpin tua yang didesak untuk berundur juga bertindak memainkan sentimen perkauman untuk mempertahankan kuasa beliau di dalam parti dan beliau berhasil.

Pemikiran politik yang berasaskan tradisi lama yang dipertahankan oleh golongan ‘old guards’ ini adalah jelas berasaskan politik perkauman dan sering menjadikan agenda kaum lebih penting daripada agenda nasional. Hal ini dapat diterima dan difahami dalam era abad ke-20 yang lalu sebagai asas memahami sifat-sifat majmuk Negarabangsa yang baru ditubuhkan. Tetapi ia menjadi sesuatu yang janggal dan ketinggalan zaman apabila masih menjadi asas kepada proses politik Malaysia pada abad ke-21 ini. Malaysia telah melalui satu bentuk pembinaan masyarakat majmuk yang telah sampai kepada peringkat terhapusnya dikotomi ‘peribumi dan pendatang’ yang menjadi tembok pemisah besar pada suatu ketika dahulu. Generasi yang ada di Malaysia pada hari ini adalah generasi yang lahir dan membesar di Negara ini dan mengecapi sepenuhnya suasana kehidupan di dalam Negara Malaysia. Generasi hari ini tanpa mengira apa kaum pun tidak mempunyai sebarang tanahair yang lain selain daripada Malaysia. Maka adalah suatu hal yang malang apabila kerangka pemikiran politik yang berasaskan kepentingan kaum itu masih menjadi teras amalan politik dan kehidupan di Malaysia.

Malaysia hari memerlukan kehadiran golongan ‘young guards’ yang dapat memansuhkan kerangka-kerangka pemikiran politik lama dan usang serta tidak sesuai lagi untuk menjadi asas kepada pembinaan Negara pada abad yang lebih memperhatikan persaingan global ini. Suatu bentuk kerangka pemikiran politik yang meletakkan individu sebagai unit universal dilihat lebih praktikal daripada meletakkan individu sebagai unit parochial yang terikat kepada batas biologi dalam konteks persaingan dan komunikasi global hari ini. Kewajaran ini adalah berasaskan proses semulajadi yang sentiasa berlaku dalam kehidupan alam dan manusia iaitu proses evolusi dan kelahiran suasana-suasana baru. Kerangka pemikiran baru ini harus melihat sesuatu tindakan daripada aspek nasional atau keseluruhan dan bukan lagi dari sudut pandang terpencil dan etnosentrik yang usang. Menerimapakai sentimen-sentimen perkauman daripada kerangka pemikiran politik golongan ‘old guards’ adalah satu tindakan yang melangkah ke belakang dan menafikan evolusi politik dan masyarakat yang berlaku. Jika ini masih terus berlaku maka masyarakat dan kehidupan politik di Malaysia akan melalui suatu lagi bentuk proses semulajadi, iaitu – proses pemfosilan.

2 Comments:

Blogger Amiene Rev said...

Ini sebuah karya pembincangan yang panjang tetapi aliran fikirannya menggoda hati saya untuk terus membacanya.

1:35 AM  
Blogger nuha zahari said...

Sdr SM ZAKIR,
Sebuah rencana menarik yang membuatkan kita terfikir akan kepentingan nasional.
Kita juga perlu bersedia dan menerima hakikat, 30 atau 50 tahun lagi, bahawa 'pendatang' yang ada hari ini mungkin juga bakal menjadi etnik minoriti di Malaysia.
Kita perlu bersedia dengan kehadiran etnik Malaysia yang terdiri daripada etnik Myanmar, Bangladesh, Indonesia dll sebagai warganegara.

1:03 AM  

Post a Comment

<< Home