Sunday, January 14, 2007

FILEM DAN CITA-CITA SEKULAR

Dunia perfileman tahun 2006 ditamatkan dengan filem ‘Cinta’ dan ‘Cicakman’. Kedua-dua filem ini dilihat membawa dimensi baru dalam dunia perfileman Malaysia khususnya filem Melayu. Mungkin paling menarik untuk dibincangkan ialah filem ‘Cinta’. ‘Cinta’ memperlihatkan dimensi filem melodramatik Melayu yang berpusing 180 darjah daripada kebiasaan filem melodramatik Melayu. Filem melodramatik Melayu seringkalinya ‘memaksa-maksa’ untuk memeras simpati dan dipenuhi dengan pertengkaran suami isteri, keluarga, kekasih yang klise dan membosankan. Tetapi ‘Cinta’ memaparkan kehidupan cinta pasangan-pasangan daripada pelbagai latarbelakang usia, kelas sosial, dan perasaan melalui pergerakan kamera yang amat fotografik sifatnya. Ia bagai menjadikan mata penonton bergerak dari satu foto kepada satu foto, tanpa memaksa sebarang emosi untuk menerima atau menolak. Pergerakan fotografik filem ‘Cinta’ ini merakamkan kenyataan atau realiti kehidupan seharian masyarakat Melayu bandar di Kuala Lumpur, melalui perjalanan perasaan cinta dan kasih sayang yang platonik. Kehidupan dilihat dari sudut yang paling ‘organik, sentimental dan romantis’ – divisualisasikan melalui kaca sebuah kamera yang tidak memaksa sebarang emosi dan fikiran untuk memberikan sebarang hukuman terhadap kehidupan.

‘Cinta’ ternyata adalah sebuah filem yang cukup indah dari segi pelayaran emosi dan seni fotografiknya. Sentuhan Khabir Bhatia dan skrip Mira Mustafa serta ARA menjadikan ‘Cinta’ sebagai pengucapan filem dalam bentuk ‘art of verisilimitude’. Verisilimitude adalah konteks seni yang menampilkan seniman atau karyawan melukiskan kenyataan atau hakikat dunia ini sedekat atau serupa mungkin supaya ia bukan sahaja kelihatan benar atau seperti sebuah kenyataan tetapi cuba menjadi kenyataan itu sendiri. ‘Cinta’ cuba berada dalam ruang verisilimitude ini; memaparkan wajah masyarakat Melayu bandar dan kehidupan budaya mereka. Dari sisi yang lain, ia merakamkan etnografi masyarakat Melayu bandar melalui gerakan fotografik tersebut.
Namun, apakah benar ‘Cinta’ merakamkan kenyataan dan kehidupan sebenar masyarakat Melayu, dalam konteks etnografi masyarakat Melayu? Jika diteliti, ‘Cinta’ mempunyai kecenderungan untuk ‘mempropagandakan’ bagaimana masyarakat Melayu itu harus hidup dalam konteks Malaysia seperti yang dicita-cita oleh golongan tertentu. ‘Cinta’ menggambarkan nilai-nilai baru dalam masyarakat tradisional yang ditransmigrasi oleh persekitaran bandar pada hari ini. Maka ‘Cinta’ boleh dilihat sebagai sebuah filem saeculum iaitu filem yang bercerita tentang peristiwa atau kehidupan pada hari ini, ‘now’ and ‘present’. Saeculum melibatkan apa yang disebut sebagai peristiwa yang berlaku pada hari ini (contemporary events) dalam dunia manusia yang dipengaruhi oleh budaya kehidupan, realiti persekitaran dan konflik kehidupan. Lokasi yang dibawa dalam makna saeculum ialah dunia nyata pada hari ini, yang logik dan alamiah (natural) tanpa berakar kepada romantisme sejarah lalu.

Saeculum adalah perkataan Latin yang merupakan akar kata kepada perkataan ‘sekular (secular)’, yang kemudian berkembang menjadi idealogi sosial, ekonomi dan politik dunia yang sangat berpengaruh. Sekular mewujudkan manusia sebagai entiti yang beridentiti bipolar. Kehidupan terpisah daripada agama. Sebagai satu proses sejarah, sekular muncul dalam ketamadunan bandar (urban civilization) khususnya Barat, yang melihat kehidupan daripada sudut pandangan paling rasional. Maka sudut kehidupan beragama sering dianggap sebagai suatu di luar logik dan rasional. Dari sini agama sering dianggap sebagai elemen kemunduran dan ketertutupan pemikiran.

Di sini ‘Cinta’ secara sengaja dilihat menghilangkan rakaman ‘kehidupan beragama (Islam)’ masyarakat Melayu, yang merupakan teras kepada produksi budaya masyarakat Melayu. Budaya masyarakat Melayu adalah produk daripada kehidupan beragama (Islam) mereka. Jika ini dihilangkan, maka apakah rakaman kamera terhadap etnografi masyarakat Melayu dalam konteks verisimilitude benar-benar berlaku secara jujur? Adegan pasangan kekasih dan suami isteri meraikan hari bahagia mereka dengan gaya hidup Barat, dan minuman ala-champagne atau wine itu tentunya sesuatu yang keterlaluan dalam menggambarkan budaya masyarakat Melayu. Begitu juga seorang isteri yang boleh sahaja meninggalkan suaminya bila-bila masa tanpa merujuk kepada hukum syariat munakahat ataupun sebarang proses di mahkamah syariah, boleh dilihat sebagai gambaran yang palsu terhadap kehidupan budaya masyarakat Melayu. Paling buruk dua orang teruna dara boleh tinggal serumah di sebuah kawasan (setinggan) yang dihuni oleh majoriti masyarakat Melayu tanpa ditangkap khalwat atau menerima teguran daripada masyarakat – tentunya satu lagi gambaran palsu terhadap budaya masyarakat Melayu. Dan lakonan Amani yang bukan sahaja jelek, tetapi amat tidak senonoh dengan cara berpakaian dan lakon gerak yang ‘begitu gila’ untuk berpeluk dengan lelaki, adalah usaha untuk mengaburkan sempadan perlakuan devians dan perlakuan normal dalam budaya masyarakat Melayu. Dengan lakonannya yang dipaksa-paksa dan huru hara, Amani tidak lebih hanya sebagai alat ‘propaganda sekular’ dalam filem ini (agak meragukan bagaimana pelakon ini menerima anugerah pelakon terbaik?).

Islam adalah teras kepada budaya masyarakat Melayu, maka jika ia disembunyikan atau dihilangkan maka gambaran yang dipaparkan adalah palsu. ‘Cinta’ adalah gambaran palsu budaya masyarakat Melayu. Ia gagal wujud sebagai verisilimitude etnografi masyarakat Melayu. Dari sudut lain, ‘Cinta’ telah mengingkari konsep verisilimitude, lantaran gagal merakamkan hakikat budaya masyarakat Melayu yang beragama dan akhirnya lebih terlihat sebagai sebuah propaganda sekular.

Kesan daripada penjajahan, Malaysia muncul sebagai sebuah Negara-bangsa bermasyarakat majmuk. Sebuah Negara-bangsa harus berdiri daripada latar masyarakat homogenus. Maka sebuah cita-cita untuk melahirkan masyarakat homogenus hanya tercapai dengan wujudnya rakyat Malaysia yang tidak beridentitikan bangsa atau kaum – truly Malaysian. Lantaran itu wujudnya kelompok tertentu di Malaysia yang percaya bahawa metodologi ‘sekular’ adalah cara terbaik untuk menyatukan hubungan etnik di Malaysia dan melahirkan ‘the truly Malaysian’. Apatah lagi Islam yang dipropagandakan sebagai ‘jahat dan merbahaya’, dilihat adalah halangan kepada cita-cita ini. Dengan itu sebuah konsep tanpa agama (Islam) perlu dihadirkan untuk menarik semua etnik dalam masyarakat Malaysia menyertai hubungan harmoni ini. Maka sebuah masyarakat ‘truly Malaysian’ akan wujud dalam ikatan rasa sepunya iaitu – sekularisasi. Apabila sebuah filem yang ingin dirakam difikirkan harus dapat mengadakan suatu bentuk nilai sepunya untuk melibatkan semua golongan etnik ke dalamnya, maka beberapa elemen terpaksa disembunyikan. Paling penting untuk disembunyikan ialah kehidupan beragama masyarakatnya. Maka kamera itu kini sedang mencipta sebuah rakaman palsu etnografi masyarakat Melayu. Tanpa kehidupan beragama dan wujudnya norma-norma ‘imaginasi’ baru yang diinspirasi daripada suasana dan pemikiran Barat – liberal dan sekular.

Golongan yang percaya kepada metodologi sekular sebagai cita-cita pembinaan dan penyatuan masyarakat ini disebut sebagai golongan vernacular cosmopolitan. Mereka melihat perkembangan sejagat hari ini melalui perpekstif marginal. Mereka membesar di bandar kosmopolitan, terputus daripada akar tradisi dan keperibadian bangsa, dan hidup berdikari dalam semua segi. Dari sudut lain, mereka juga merupakan natural anarchist. Vernacular cosmopolitan ini merupakan produk daripada kolonialisme. Kerancuan budaya, tradisi dan agama akibat dibinasakan oleh penjajahan melahirkan produk dan golongan yang ‘tercedera’. Golongan ini hilang keyakinan terhadap keunggulan sejarah mereka, dan memiliki keinginan untuk membina keunggulan baru. Mereka memiliki cita-cita kehidupan demokratik yang bergerak daripada aliran pemikiran marginal dan minoriti. Dengan itu, mereka mempercayai sesuatu yang baru, rasional dan liberal harus diinstitusikan dalam masyarakat. Semua status qou dipandang sebagai tembok-tembok kemunduran yang membeku kehadiran kebijaksanaan dalam masyarakat. Malangnya, agama dan tradisi juga dianggap status qou yang menyekat kemajuan masyarakat. Maka itu, golongan ini memiliki kepercayaan dan cita-cita sekular yang teguh untuk menghadirkan nilai-nilai baru menggantikan nilai-nilai lama termasuk kehidupan agama!

Dan ‘Cinta’ menghilangkan Islam daripada kehidupan budaya masyarakat Melayu – kerana sebuah ‘imaginasi’ terhadap sebuah masyarakat Melayu yang baru – rasional, liberal dan sekular.

Wednesday, November 29, 2006

HUBUNGAN KAUM YANG PALSU DI MALAYSIA 2

Sesuatu yang pasti di Malaysia pada masa sekarang ini ialah betapa sukarnya untuk melihat masyarakat daripada kaum yang berbeza menjadikan duduk berbual sambil makan bersama, berkunjung-kunjungan, menjalankan kegiatan sosial secara bersama sebagai rutin kehidupan atau gaya serta cara hidup mereka. Apa yang paling jelas kelihatan ialah setiap kaum akan berkelompok di dalam kaum masing-masing dan berhubungan dengan kaum lain apabila melibatkan keperluan dan kepentingan yang tidak dapat dielakkan. Ini memperlihatkan bahawa polarisasi kaum di Malaysia pada masa ini menjadi semakin kritikal. Dalam ertikata lain hubungan kaum di Malaysia semakin renggang dan diikat oleh hubungan-hubungan yang palsu. Dua bentuk hubungan antara kaum yang dilihat berlaku ialah hubungan yang melibatkan keperluan ekonomi dan hubungan yang melibatkan keperluan politik. Selain daripada itu setiap kaum memisahkan diri daripada kaum yang lain dan hidup memperkuatkan kepentingan diri serta kaum masing-masing.
Lebih malang lagi sukan dan budaya, iaitu dua bidang yang boleh memisahkan kepentingan ekonomi dan politik dalam membina hubungan antara kaum juga kini, secara tidak sedar semakin memperluaskan jurang dan berkecenderungan untuk berpecah serta berkelompok mengikut identiti kaum. Hubungan antara kaum yang erat dan mengesampingkan kepentingan ekonomi atau politik mungkin juga berlaku di Malaysia, tetapi dalam peratusan yang sangat kecil. Sebahagiannya berlaku secara jujur di kalangan masyarakat tetapi sangat kecil (termasuk ikatan perkahwinan). Sebahagian lagi berlaku secara kebetulan iaitu berlaku di kalangan golongan menengah atasan di bandar kosmopolis dan metropolis seperti Kuala Lumpur dan beberapa buah bandar lain. Namun di bandar metropolis seperti Georgetown, Johor Bharu, Ipoh hubungan kaum mula kelihatan menjadi hubungan yang palsu. Secara umumnya hubungan antara kaum dalam kelompok elit atau menengah atas terutama antara golongan yuppies yang liberal, sekular dan hedonistik adalah hubungan metropolis atau kosmopolis yang hanya dipunyai segolongan kecil elit yang berkongsi jiwa liberal, sekular dan hedonistik. Hubungan ini sebagai contoh mudah, mungkin terlihat dalam dunia seni seperti kumpulan filem indie, teater Inggeris, media elektronik (bloggers, laman web, dan sebagainya), media konvensional yang terkeluar daripada arus perdana dan forum-forum alternatif yang anti-establishment. Dalam kehidupan biasa hubungan ini melibatkan hubungan bersifat ekonomi dan kepakaran yang melibatkan kepentingan yang tidak boleh dielakkan. Jika boleh dielakkan mereka lebih memilih untuk berhubungan dengan kaum mereka sendiri.

Pemahaman budaya dan pegangan sesebuah kaum sekarang ini semakin jauh untuk difahami oleh kaum yang lain. Lebih malang lagi kejahilan dalam memahami budaya dan paling penting pegangan agama dilihat pula sebagai kebijaksanaan. Maka kejahilan yang dungu ini mula membina tafsiran yang tersendiri melalui pandangan atau andaian yang salah. Andaian salah ini berlaku apabila model pemikiran yang berkiblatkan Barat dan diikat oleh kepercayaan contohnya, ‘sosialisme-liberal ala-mazhab Frankfurt’ menjadi kanta untuk melihat segala perlakuan budaya dan pegangan agama yang ada di Malaysia. Sebagai contoh apabila muncul pemahaman bahawa sesiapa sahaja boleh mentafsir al-Quran, cukup untuk menjelaskan tentang kejahilan yang paling terkutuk telah berlaku pada hari ini. Sikap ‘hollier than thou’ golongan ini, atau yang merasakan mereka lebih bijak dan tahu daripada rakyat yang lain tidak membawa apa-apa yang baik dan bermanfaat untuk masyarakat. Maka mereka menjadi comprador Gramsci fasa kedua, yang berpaksikan ‘minda tertawan’ yang meletakkan kekaguman maha hebat terhadap liberalisme-sekular penjajah Barat. Hal ini menjadikan jurang perbezaan bahkan prasangka semakin besar.

Keadaan menjadi tambah buruk apabila muncul golongan intelektual yang ingin menjadi selebriti mengecohkan hal-hal yang berkaitan agama Islam, hak-hak bumiputera, ekuiti dalam dasar ekonomi serta perkara-perkara sensitif yang telah dimaktubkan dalam Perlembagaan sebagai konsensus yang dipersetujui bersama dalam membina sebuah Negara-bangsa Malaysia – maka hubungan kaum yang sedia nipis menjadi berkocak. Golongan intelektual ini sebenarnya ‘bodoh dan dungu’ lantaran melihat sesuatu isu itu tersebut hanya dalam cawan kopi atau teks kepakaran mereka tetapi bukannya konteks hubungan yang menyeluruh yang melibatkan implikasi sensitiviti kaum, hubungan sejarah, corak politik dan cara berfikir masyarakat. Memperagakan kehebatan mereka dalam kepakaran undang-undang, ekonomi, sains sosial dan sebagainya tidak menjadikan mereka pemikir yang bijak dalam mencorakkan keharmonian dalam masyarakat tetapi sebaliknya lebih menjadikan mereka sebagai skizofrenik yang mengalami suatu bentuk ‘celebrity complex’ yang gila untuk menonjolkan diri, masyhur dan terkenal.

Akibat daripada apa yang berlaku ini maka golongan politik, iaitu golongan yang dianggap arrogant, dungu dan korup oleh golongan intelektual dan masyarakat menyambar peluang untuk mempergunakan golongan intelektual, elit dan masyarakat seluruhnya demi kelangsungan kepentingan politik mereka. Maka tiba-tiba muncullah perjuangan untuk memperjuangkan kepentingan kaum masing-masing. Bahkan pemimpin politik yang tidak pernah memijak masjid atau tokong tiba-tiba menjadi jaguh dan pejuang ‘berani mati’ mempertahankan masjid, tokong atau kuil yang tidak pernah pun dipedulikan dalam realiti kehidupan mereka.
Suasana politik Malaysia hari ini masih tidak berubah dari suasana politik abad ke-20 apatah lagi mahu bergerak ke hadapan (sebaliknya sentiasa kembali untuk bergerak ke belakang). Ia masih berpegang kepada kuasa ajaib sentimen perkauman. Pemimpin parti GERAKAN yang tua itu apabila dicabar kepimpinannya, segera menimbulkan isu perkauman dan akhirnya mengekalkan kuasanya. Begitu juga dengan parti-parti BN yang lain MIC, MCA semuanya hidup dengan kejayaan memanipulasikan sentimen perkauman. MCA paling tidak pun cukuplah dengan isu bumbung sekolah SRJKnya. Paling jaguh tentunya UMNO. Tiba-tiba Perhimpunan Agung UMNO dipenuhi pejuang-pejuang jihad Melayu yang menjulang keris dan buku tangan untuk mempertahankan orang Melayu. Maka isu ekonomi yang merudum, rasuah, penyelewengan yang menggila pemimpin-pemimpin UMNO disapu ke bawah permaidani buruk sentimen perkauman. Sedangkan keistimewaan bumiputera pada hakikatnya adalah keistimewaan orang-orang UMNO dan bukannya keistimewaan orang-orang Melayu seluruhnya. Sebahagian besar orang Melayu mengalami nasib yang sama dengan kaum bukan Melayu malahan mungkin lebih buruk (jika ia dari pihak pembangkang) apabila mereka melalui proses biasa dalam menggelumangi hidup seharian.

Perbezaan seorang Melayu biasa dengan seorang Melayu UMNO untuk mendapat gerai atau tender memotong rumput dari mana-mana majlis daerah atau perbandaran seperti perbezaan seorang buta dan seorang celik yang berjalan di atas sebuah titi. Keistimewaan bumiputera juga merupakan sebuah silap mata yang unik.

Juga tidak ada bezanya dengan parti pembangkang. DAP yang kononnya parti demokratik tidak lebih daripada ‘old guard’ sentimen chauvinistik Cina yang paling kolot. Tanpa sentimen perkauman chauvistik Cina dan kaum bukan Melayu, DAP akan mati. Begitu juga dengan PAS, beberapa dekad memerintah Kelantan tetapi masih tidak dapat mewujudkan dirinya sebagai sebuah ‘government in waiting’. PAS hanya mampu untuk menjadi pembangkang dan hidup sebagai parti kampung dalam lingkungan daerah orang-orang Melayu. Keadilan pula, perjuangannya tamat apabila Anwar Ibrahim dibebaskan. Keadilan cuba menjadi ‘melange of social organization’ tetapi akhirnya tidak lebih daripada menjadi beca buruk dengan segala logo dan cap – kepala lembu patah tanduk, roda tanpa jejari, bulan tiga suku, tukul tanpa sabit, dacing senget, roket tanpa buntut – bercelaru untuk mempunyai segalanya.
Inilah realiti politik Malaysia, diktum yang mewakili ‘a (false) normative demand rather then empirical reality’. Dengan polarisasi kaum yang semakin kritikal, kejahilan untuk memahami budaya dan pegangan yang lain, sikap merasakan lebih bijak daripada yang lain, ketiadaan akar peribadi, ketololan mencipta tafsiran, kebodohan sejarah, kegilaan liberalisme-sekular hedonistik, celebrity complex, chauvinistik dan kedunguan memahami geo-historis akan membuatkan kepentingan-kepentingan politik yang kuno itu akan sentiasa hidup daripada kuasa ajaib sentimen perkauman.

Tuesday, October 10, 2006

HUBUNGAN KAUM YANG PALSU DI MALAYSIA

S.M. Zakir


Kata-kata muluk tentang masyarakat majmuk atau plural society mungkin dapat didengar daripada Isaiah Berlin, “Kehidupan boleh dilihat daripada banyak jendela”. Berlin, seorang Yahudi yang lahir di rantau Baltik pada tahun 1909. Bapanya seorang pedagang, sepertimana kaum Yahudi yang lain merupakan golongan elit ekonomi. Kesan daripada revolusi Bolshevik, Berlin dibawa keluarganya ke London. Di situ Berlin hidup tanpa mengamalkan kebudayaan dan kehidupan sebagaimana seorang Yahudi. Berlin, menerima bahawa Palestin adalah bangsa asal di bumi Palestin dan berhak hidup sebagaimana bangsa yang merdeka, walaupun dalam masa yang sama Berlin tidak menolak hakikat kewujudan Israel. Palestin wajar diberikan sebuah Negara dan diiktiraf sebagaimana bangsa yang merdeka. Bagaimanapun Berlin menyetujui bahawa agak sukar untuk Yahudi dan Palestin hidup bersama dalam sebuah Negara memandangkan perbezaan asal usul dan budaya yang membuatkan setiap orang itu memikirkan bahwa mereka tidak boleh hidup bebas di dalam sebuah masyarakat yang diintegrasikan apabila yang lain berada di situ dengan jumlahnya yang sebegitu.

Berlin melihat bahawa slogan tentang ‘masyarakat majmuk’ (plural society) ataupun masyarakat kepelbagaian budaya (multicultural society) dicipta adakalanya untuk meminggirkan golongan minoriti atau apa yang disebut sebagai meletakkan golongan minoriti ‘beyond the borders of the city’. Ini berlaku dalam kes yang berlaku di Amerika Syarikat apabila slogan muluk tentang masyarakat majmuk dan kepelbagaian budaya itu wujud sebagai ‘kebenaran dan pengiktirafan’ untuk mengeluar atau meminggirkan golongan minoriti kulit hitam daripada golongan majoriti bangsa kulit putih. Dua tema yang menjadi teras pemikiran Berlin iaitu ‘Two Concepts of Liberty’ dan ‘Historical Inevitability’ dilihat berkontradiksi hebat antara satu sama lain. Bagaimana keinginan kepada kebebasan individu, dalam masa yang sama dapat memberikan aspirasi kepada melahirkan identiti masyarakat? Bagi Berlin kontradiksi tidak dapat dielakkan memandangkan ia adalah ‘inti’ (essence) kemasyarakatan itu sendiri. Kebebasan dan perikatan (liberty and fraternity), kedua-duanya diperlukan tetapi kerapkali ia melemahkan antara satu sama lain, dan dengan itu hanya salah satu daripadanya yang perlu dipilih.
Konsep tentang masyakarat majmuk mula-mula muncul hasil daripada kajian antropologi JS Furnival pada dekad pertama abad ke-20 yang membuat analisis terhadap masyarakat kolonial di rantau Asia Tenggara. Masyarakat kolonial ini hidup dalam seksyen atau ‘kotak-kotak kaum’ yang berasingan dengan amalan budaya dan kepercayaan yang berbeza, bergaul dengan tujuan ekonomi antara satu sama lain dalam batas serta sempadan yang jelas, tetapi berada dalam unit politik yang sama. Ia disebut sebagai ‘bergaul tetapi tidak berpadu’ (mix but not combine).

Kewujudan masyarakat majmuk di Malaysia hari ini secara sejarahnya adalah produk daripada kolonialisme. Ia sejajar dengan kefahaman bahawa masyarakat majmuk adalah produk daripada kekalahan politik. Kekalahan politik orang Melayu sama ada dalam era pra-kolonial, era kolonial mahupun era pasca-kolonial yang telah mewujudkan sebuah masyarakat majmuk dalam sebuah Negara-bangsa Melayu yang merdeka pada hari ini. Kegagalan yang paling dungu bagi perjuangan nasionalisme Melayu ialah apabila perjuangan nasionalisme mereka tidak mewujudkan sebuah Negara-bangsa Melayu tetapi mewujudkan Negara-bangsa Malaysia. Di mana dari segi politiknya, era pasca-kolonial masih menyaksikan kekalahan politik bangsa Melayu yang tidak pernah menemukan kemenangan. Dengan lahirnya pemimpin-pemimpin yang terjajah di dalam minda Inggeris dan sekular atau golongan ‘comprador’ yang hanya melihat bahawa kaedah penjajah adalah sebaik-baik kaedah dalam membina Negara dan masyarakat maka nasionalisme Melayu pada hakikatnya telah gagal. Namun kegagalan nasionalisme Melayu ini dipertembungkan dengan kejayaan melahirkan sebuah Negara-bangsa majmuk yang berdiri di atas integriti dan konsensus kaum-kaum yang bersatu untuk mencapai kepentingan bersama.

Bagaimanapun dalam sesebuah masyarakat majmuk, konflik antara kaum merupakan sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Konflik dapat diurungkan apabila setiap unit masyarakat itu perlu mengetahui sejauhmana batas yang mereka boleh sentuh dalam memperkatakan hak unit-unit yang lain. Seperti kata seorang ahli sosiologi multibudaya, Tariq Modood, “If people are to occupy the same political space without conflict, they mutually have to limit the extent to which they subject each others’ fundamental beliefs to criticism”.

Tetapi apa yang berlaku di Malaysia muktahir ini memperlihatkan kritikan-kritikan yang tidak lagi menghormati asas atau fundamental yang menjadi ikatan kepada hubungan kenegaraan ini. Bermula dengan ura-ura penubuhan IFC, meleret kepada meletakkan kuasa mahkamah syariah di bawah kuasa mahkamah sivil, seterusnya mencabar sentimen orang Melayu dengan permohonan murtad yang menentang Perlembagaan hinggalah kepada meletakkan Malaysia ‘secara undang-undang’ sebagai Negara sekular bagi memudahkan usaha untuk menafikan hak-hak fundamental yang termaktub dalam Perlembagaan (terutamanya hak orang Melayu) pada kemudian hari. Tambah mendukacitakan apabila kenyataan provokatif Lee Kuan Yew tentang berlakunya peminggiran sistematik terhadap kaum Cina di Malaysia dan Indonesia disokong secara ‘subtle’ oleh ASLI yang mengeluarkan kenyataan terhadap kajian ‘Pengagihan Ekuiti Korporat: Arah Aliran Lalu dan Polisi Masa Depan yang mendakwa bumiputera sudah mencapai ekuiti ekonomi dalam Negara sehingga 45 pertus iaitu melepasi sasaran DEB iaitu sebanyak 30 peratus. Ini semua memperlihatkan tindakan-tindakan subversif yang melontarkan bola salji terhadap kestabilan Negara selama ini. Apabila berlaku keadaan yang tidak terkawal, pelontar bola salji ini selalunya ialah ‘para pengecut dan dayus’ yang pertama sekali akan lari menyelamatkan diri mereka. Ini terbukti dalam peristiwa 13 Mei di mana para penghasut tersebut hilang lari menyelamatkan diri dan membiarkan rakyat yang tidak bersalah daripada pelbagai kaum menjadi mangsa akibat hasutan mereka.

Situasi di Malaysia sama sekali berbeza situasi yang dilihat oleh Berlin. Kewujudan masyarakat majmuk di Malaysia adalah sejarah yang tidak dapat dielakkan (historical inevitability) iaitu produk kejam daripada sejarah kolonialisme. Hubungan antara dua entiti terbesar iaitu bangsa Melayu dan kaum Cina bukan merupakan hubungan antara majoriti dan minoriti, tetapi adalah hubungan antara majoriti yang saling bersaingan (competing majority). Dengan kaum Cina yang melebihi 30 peratus daripada populasi dan hampir 50 peratus jika dicampur kaum bukan Melayu yang lain, kaum bukan Melayu di Malaysia pada hakikatnya bukan kaum minoriti. Label kaum minoriti bagi kaum bukan Melayu di Malaysia hanyalah retorik dan kenyataan yang palsu. Terutamanya kaum Cina, secara sosial, politik dan terutamanya ekonomi adalah golongan majoriti yang saling bersaingan. Bahkan dari sudut ekonomi kaum Cina adalah sebuah kuasa hegemoni di Malaysia.

Jika ingin dilihat daripada sudut pemikiran Berlin, pemikiran atau prinsip tentang multiculturism dan plural society adalah slogan dan matlamat perjuangan kaum bukan Melayu di Malaysia kerana dalam jangka masa panjang ia boleh menjadi ‘kebenaran dan pengiktirafan’ untuk meminggirkan orang Melayu secara ekonomikal, dan seterusnya boleh mencapai ke tahap peminggiran secara sosiologikal dan politikal. Maka di sini bangsa Melayu yang ditolak ke ruang ‘beyond the borders of the city’, tanpa mereka sedar – bukan kaum bukan Melayu. Dalam situasi ini apabila kepentingan kaum itu diperjuangan melebihi kepentingan Negara, maka ia tentunya melemahkan Negara. Terlihat di sini liberty berlaku dalam konteks kepentingan kaum (bukan Melayu) sementara fraternity itu berlaku dalam konteks kepentingan Negara. Tindakan elit-elit bukan Melayu melontarkan bola salji ke arah kepentingan Negara demi mencapai kepentingan kaum atau kebebasan kaum tersebut telah melanggar sempadan atau fundamental yang mengikat asas kenegaraan yang terbina selama ini. Tidak ada definisi yang lebih tepat untuk menyatakan tindakan ini kecuali daripada ia adalah tindakan subversif terhadap ‘Negara’ yang paling nyata.

Jika setiap kaum atau unit masyarakat bersetuju untuk menerima hakikat bahawa ‘sejarah (kolonialisme) yang tidak dapat dielakkan’ dan kewujudan Negara-bangsa Malaysia adalah ketidaksengajaan yang harus diperbetulkan dengan membina sebuah fraternity dalam konteks Negara tersebut maka tindakan-tindakan yang mempersoalkan hak-hak bangsa Melayu itu harus dihentikan. Toleransi sesama kaum di Malaysia ini harus melihat kepada asas yang membina toleransi tersebut – iaitu penerimaan orang Melayu untuk hidup secara merdeka dengan kaum-kaum yang sama sekali berbeza dengan mereka. Jika ‘keinginan untuk menerima’ orang Melayu ini musnah maka sebuah Negara yang lain dalam bentuk lain adalah kemungkinan yang untuk difikirkan. Dalam sesebuah masyarakat majmuk batas dan sempadan kritikan itu adalah ‘kebebasan’ (liberty) yang sebenar. Sebelum memikirkan tentang toleransi kita terlebih dahulu harus memikirkan apa yang tidak boleh ditoleransikan. Mengikut kata Umberto Eco, “to be tolerance, one must first set the boundries of the intolerant".

Friday, July 07, 2006

LEGASI LYCURGUS

Athens dan Sparta merupakan dua buah negara kota yang menjadi inti kepada tamadun Yunani. Athens dibentuk menjadi sebuah negara demokrasi oleh Solon setelah diangkat menjadi pemimpin Athens pada 594SM. Solon ialah seorang sasterawan yang kemudian menjadi negarawan dan ahli undang-undang yang paling terkemuka. Solon menyusun undang-undang dasar yang bersifat demokratik, yang kemudiannya menjadi asas kepada demokrasi moden hari ini. Sementara Sparta pula adalah kota tua pada zaman Mycena (1600SM-1200SM) yang diperintah untuk menjadi sebuah negara tentera. Perang Troy yang masyhur itu dikatakan dilancarkan dari Sparta setelah Helen, isteri Raja Menelaos diculik oleh Paris di Sparta dan kemudiannya menyebabkan perang yang hebat itu pun bermula. Perang yang menjadi epik besar di tangan Homer ini memunculkan tokoh-tokoh epik seperti Archiles, Hector, Odyseus dan sebagainya.

Pada tahun 800SM muncul seorang tokoh setengah dongeng yang bernama Lycurgus di Sparta. Lycurgus menyusun perlembagaan Sparta yang bersifat aristokratik ketenteraan. Perlembagaan ini disusun untuk memenuhi cita-cita Lycurgus membina sebuah Negara tentera yang kuat dengan kehidupan warganegaranya diatur dan dikendalikan oleh negara. Setelah menyusun perlembagaan Sparta. Lycurgus meminta kepada seluruh warga Sparta agar berjanji untuk tidak mengubah suatu apa pun daripada perlembagaan yang telah disusunnya itu. Setelah warga Sparta bersumpah setia dengan permintaan Lycurgus itu, maka Lycurgus pun menghilangkan diri dari Sparta dan tidak kembali lagi. Maka warga Sparta pun terikat dengan sumpah setia untuk tidak mengubah perlembagaan Sparta yang telah dibuat oleh Lycurgus itu.

Mahathir mula memegang tampuk pemerintahan Negara pada 16 Julai 1981. Apabila Mahathir melepaskannya kepada Pak Lah pada 31 Oktober 2003, sebuah legasi yang kukuh bukan sahaja berakar selama tempoh 20 tahun di dalam sistem pemerintahan Negara melalui dasar dan polisi yang diperkenalkan tetapi juga menjadi dokrin yang sangat perkasa di dalam pemikiran rakyat Malaysia. Seperti Lycurgus, Mahathir bercita-cita membina sebuah Negara yang kuat dengan kehidupan warganegaranya diatur dan dikendalikan oleh Negara. Dan seperti Lycurgus juga, setelah menyusun segala dasar, polisi serta arahan, Mahathir melepaskan jawatannya dengan ‘sumpah setia’ yang ditagih untuk tidak mengubah suatu apa pun daripada apa yang disusunnya. Apabila susunan yang terbentuk itu dilanggar maka Mahathir kini menjadi ‘Lycurgus yang kembali’ untuk menagih segala sumpah setia yang dilanggar itu.

Sesiapa pun tidak dapat menafikan bahawa Mahathir telah meninggalkan sebuah Negara yang makmur dan maju selepas pemerintahannya selama dua dekad. Mahathir adalah seorang nasionalis jalur keras yang kemudian meningkatkan dirinya menjadi seorang nasionalis ekonomi yang berusaha untuk menukarkan Malaysia daripada sebuah Negara yang berasaskan komoditi pertanian kepada sebuah Negara perindustrian baru di bawah pimpinan usahawan-kapitalis bumiputera. Dua dekad pemerintahan Mahathir, telah membawa nasionalis-idealis bertukar menjadi nasionalis-kapitalis yang menyaksikan perubahan anjakan pemikiran yang cukup besar. Mahathir mempunyai persona politik dan idealogi yang cukup hebat sehingga menjadikannya sebagai seorang nasionalis yang paling ke hadapan dalam seluruh generasi yang ada pada waktu itu. Sebagai seorang ‘self made-man’ yang amat mengagumkan Mahathir berusaha untuk ‘membesarkan’ kedaulatan bangsa yang kecil ini tinggi di puncak dunia – dengan kepercayaan yang kuat kepada kesaktian kuasa kapitalis, liberal dan sekular. Tanpa melihat label (kapitalis, liberal dan sekular) sebagai justifikasi moral, kepercayaan Mahathir ini telah memunculkan suatu bentuk aliran dalam persekitaran politik iaitu – Mahathirisme. Aliran ini menekankan suasana liberal dan sekular dalam persekitaran hidup masyarakat dengan kunci sakti kepada segala kemakmuran terletak kepada ekonomi – yang dikawal oleh pengembangan kuasa kapitalisme di atas segala kepentingan lain.

Pertengahan tahun 1980-an Mahathir memperkenalkan Dasar Pensyarikatan Malaysia (Malaysia Inc.) yang menyaksikan badan-badan milik kerajaan diswastakan. Pensyarikatan Malaysia yang menetapkan golongan bumiputera sebagai peneraju-penerajunya adalah idea yang amat baik dalam konteks perjuangan nasionalisnya. Namun keghairahan ini telah mengundang kehadiran ‘dosa’ yang tidak pernah dianggap besar iaitu sikap tamak, angkuh, dan kegilaan terhadap kuasa. Dosa ini tidak pernah difikirkan sebagai suatu perkara yang besar dalam situasi politik mana pun. Walau akhirnya ia adalah punca kepada segala kejatuhan kemudiannya.

Pensyarikatan Malaysia menghadapi masa yang sukar terutamanya dalam pertengahan 1980-an sebelum mencapai kejayaannya dalam dekad 90-an. Skandal BMF menyaksikan kehilangan RM2.5 billion melebihi nilai modal sebenar bank iaitu sebanyak RM1.22 billion, oleh pinjaman ‘istimewa’ oleh Carrian Group, Kevin Hsu Group dan Eda Investment Ltd. Mahathir memberikan jawaban yang mudah, ‘BMF tidaklah berbeza dari hampir semua bank yang menghadapi masalah daripada kejatuhan nilai hartanah di Hong Kong’. Pada 18 September 1986, skandal Maminco yang melibatkan pelaburan besar dalam dagangan pasaran bijih timah dunia mencatatkan kerugian RM660 juta yang disedut daripada dana awam di Bank Bumiputra dan Malayan Banking Bhd. Skandal Maminco menyaksikan keputusan-keputusan ‘tersembunyi’ dan kewujudan ‘pembeli misteri’ yang akhirnya tidak dapat dikesan dan dibuktikan apabila ia menyedut kerugian. Pasaran saham yang merudum antara tahun 1985 dan 1986 telah membawa khabar tentang ‘nasihat’ Menteri Kewangan ketika itu, Daim Zainuddin untuk KWSP memasuki pasaran bagi menyokong pasaran yang semakin tenat. KWSP memasuki pasaran saham dan akhirnya kehilangan RM141 juta. Daim tidak mahu memberikan sebarang ulasan dengan menyatakan bahawa Kementerian Kewangan tidak bertanggungjawab di atas keputusan KWSP. Kehilangan wang simpanan pekerja ini ditambah sebanyak RM10 juta lagi oleh skandal Makuwasa pula. Mahathir turun memberi jawapan pada 18 September 1986 dengan menyatakan tindakan menggunakan wang KWSP itu adalah untuk mengganti wang Bank Bumiputra yang dipinjamkan kepada Maminco. Beberapa keadaan yang sama terus menyaksikan kerugian besar oleh keputusan-keputusan autokratik yang tidak telus seperti penggantungan Pan-El di Bursa Saham Singapura yang melibatkan kegagalan pembayaran sebanyak RM400 juta. Tan Koon Swan, presiden baru MCA menerima padahnya berikutan skandal ini. Sekali lagi MCA terheret apabila berlakunya skandal Kosatu iaitu koperasi yang bertindak mengutip deposit sebanyak RM156.1 juta daripada 53 ribu pendeposit. Kosatu menghadapi masalah.

Kehilangan jumlah besar wang rakyat oleh keputusan ‘beberapa orang’ secara tidak telus menyaksikan permulaan dasar-dasar Mahathir yang sering tidak memperkirakan prinsip dan amalan demokrasi. Apabila Mahathir mempersoalkan keputusan-keputusan Kerajaan sekarang – yang sebenarnya lebih demokratik dan terbuka – ia lebih menampakkan keterlupaan Mahathir terhadap apa yang pernah dilakukan sepanjang pemerintahannya. Sepuluh tahun pemerintahan Mahathir tidak lebih baik daripada apa yang berlaku sekarang. Sementara sepuluh tahun lagi menyaksikan dua perpecahan besar di dalam UMNO sehingga mewujudkan parti Semangat 46 dan Keadilan. Kerajaan di bawah Pak Lah dan Najib sekarang dilihat lebih bertungkus lumus memperbaiki banyak kerosakan yang dilakukan oleh Mahathir. Kedua-dua pemimpin ini memerlukan masa dan peluang untuk memperbaiki kerosakan terlebih dahulu sebelum dapat menjana pencapaian gemilang pada masa hadapan. Walaupun kelihatannya kedua-dua pemimpin ini mewarisi Negara yang stabil daripada Mahathir, namun pada hakikat sebenarnya tubuh politik dan ekonomi yang ditinggalkan oleh Mahathir kepada penggantinya tidak lebih daripada sebuah belon kembung yang boleh meletup pada bila-bila masa.

Sebuah ‘perlembagaan Lycurgus’ perlu dilihat kembali dan dimansuhkan sebahagiannya yang nyata membebankan. Yang paling wajar dimansuhkan ialah ‘arahan’ mewajibkan penggunaan bahasa Inggeris sebagai pengantar di dalam mata pelajaran sains dan matematik. Kerajaan pada hari tidak perlu terikat dengan ‘sumpah setia Lycurgus’. Paling penting ialah menumpukan kepada masalah besar yang dihadapi rakyat terutamanya kesan kenaikan harga petrol, tariff elektrik dan tol yang mengurangkan keupayaan kuasa beli rakyat, kenaikan kadar inflasi serta pengangguran. Ketiadaan ‘bahan’ yang dapat menjana serta menggerakkan ekonomi dan aliran modal luar yang menipis adalah antara perkara yang lebih penting daripada mempertahankan ‘legasi Lycurgus’ yang membebankan. Jika Kerajaan sekarang dapat mengatasi keadaan yang sulit ini, rakyat sudah tentunya akan bersama-sama Kerajaan tanpa dapat diganggu gugat oleh mana-mana pihak sekalipun.

Jika Lycurgus kembali, keadaan hari ini tidak mungkin dapat menerimanya lagi. Namun kenyataan di dalam epik-lagenda Sparta – Lycurgus menghilang dari Sparta untuk selama-lamanya.

Friday, June 09, 2006

MAZHAB FANKFURT DAN SOSIALIS BARU

Mazhab Frankfurt bermula apabila tertubuhnya Institute for Social Research (Institut fur Sozialforschung) di Universitti Frankfurt, Jerman pada 3 Februari 1923 oleh golongan intelektual muda yang mencintai Marxisme. Ia menjadi teguh bermula pada tahun 1930 apabila Max Horkheimer menjadi pengarahnya. Mazhab Frankfurt merupakan sebuah gerakan intelektual Jerman yang berusaha mengembangkan teori penyusunan semula masyarakat moden berasaskan penilaian kembali pemikiran Marxisme. Ia turut menyerap semangat rasional Rene Decartes dalam membina rasionalisasi yang dapat dipergunakan untuk meroboh benteng kepercayaan dan agama. Penentangan mazhab Frankfurt terhadap kapitalisme membawa kepada usaha untuk melihat bahagian-bahagian pemikiran Marx yang tidak disedari oleh Marx sendiri – yang kemudiannya digunakan untuk menjelaskan situasi sosial yang bergelut di dalam masyarakat moden. Tokoh-tokoh generasi pertama Mazhab Frankfurt ini antaranya ialah Theodor Adorno, Max Horkheimer, dan Herbert Marcuse. Ia kemudian berkembang dengan pemikiran-pemikiran Sigmund Freud, Max Weber dan kehadiran tokoh-tokoh penting ke dalamnya seperti Walter Benjamin, Franz Oppenheimer, Erich Fromm dan Jurgen Habermas.

Pada tahun 1933, apabila Nazi menjadi sangat berkuasa di Jerman, ahli-ahli mazhab Frankfurt ini bermigrasi ke Amerika Syarikat (AS) dan mengembangkan pemikiran mereka di universiti-universiti seperti Columbia, Princeton, Brandeis, Barkeley dan sebagainya. Mereka kemudian terlibat dalam gerakan-gerakan sosial seperti gerakan anti-Perang Vietnam, di mana Herbert Marcuse mempopularkan slogan, “make love, not war”. Cultural Marxism dan Critical Theory yang menjadi falsafah penting di dalam mazhab Farnkfurt ini kemudian perlahan-lahan berkembang ke dalam gerakan sosial radikal yang cuba mentransformasikan budaya Amerika melalui apa yang disebut sebagai ‘political correctness’.

Mazhab Frankfurt menolak konsep ideal tamadun Barat (Western Civilization) dan membentuk utopia baru dalam prinsip ketamadunan mereka. Mereka mewujudkan utopia moden dengan menulis semula sejarah, mempersoalkan status quo, menjungkar balik naratif, dan dekonstruksi terhadap teks serta wacana. Utopia moden ini merupakan suatu bentuk ‘revolusi’ yang bergerak secara senyap, halus, dan perlahan menyebarluaskan ‘cultural Marxism’ dalam membudayakan prinsip pemikiran Marx dan psikologikal moden Freud ke dalam gerakan penyusunan masyarakat. Ia bertujuan melancarkan apa yang mereka namakan sebagai revolusi senyap (quiet revolution) ke seluruh AS dan seterusnya ke seluruh dunia.

Amerika Syarikat dilihat sebagai pusat penyebaran idea, doktrin dan revolusi yang paling dominan di dunia. Apabila mazhab Frankfurt mula bertapak di AS pada sekitar pertengahan abad ke-19, suatu bentuk revolusi senyap telah dilancarkan melalui gerakan budaya. Marxisme tidak lagi tampil dalam wadah ekonomi tetapi dalam wadah budaya samada dalam bentuk budaya tinggi mahupun budaya popular. Apabila tamatnya Perang Vietnam, dan askar-askar Amerika pulang ke tanahair maka pada dekad 60-an tersebut berlaku fenomena ‘baby boom’ iaitu peningkatan populasi yang mendadak di AS. Golongan muda kemudiannya atau disebut sebagai ‘boomers’ menjadi golongan majoriti di AS dan serta merta semangat liberal serta pemberontakan terhadap nilai-nilai lama menjadi sangat perkasa. Berlaku penilaian semula budaya (counter culture) oleh elit-elit daripada golongan ‘boomers’ yang terdiri daripada golongan mahasiswa muda yang membentuk kelompok-kelompok ‘devians’ seperti golongan hippies, pot-smoking, dan draft-dodging yang lantang berdemonstrasi menentang Perang Vietnam. Ia kemudian diikuti oleh kebangkitan golongan pejuang emansipasi wanita seperti ‘women’s liberation movement’ yang kemudian menjadi paksi kepada gerakan feminisme. Golongan mahasiswa muda ini menjadi senjata barisan hadapan kepada revolusi senyap mazhab Frankfurt. Dalam ertikata lain mereka menjadi ‘foot soldiers’ kepada guru-guru besar mazhab Frankfurt tersebut. Dengan slogan golongan muda sebagai agen perubahan, revolusi senyap mazhab Frankfurt mula menjadi gerakan liberalisasi dan rasionalisasi yang amat berkuasa dalam kehidupan budaya AS.

Akar gerakan mazhab Frankfurt ini juga mendapat tunjangan daripada pemikiran tokoh komunis Itali iaitu Antonio Gramsci. Gramsci seorang komunis muda yang mati di dalam penjara Mussolini pada tahun 1937 ketika berusia 46 tahun. Gramsci menegaskan bahawa idea tradisi tentang revolusi sebagai suatu yang ketinggalan zaman. Sebaliknya Gramsci menyarankan bahawa revolusi harus dilakukan melalui gerakan budaya dengan pengambilalihan kuasa berlaku melalui tindakan penyusupan dan menghancurkan integrasi di dalam sistem tersebut. Gramsci juga mendesak bahawa kejayaan cita-cita komunis dapat dicapai melalui persekutuan dengan gerakan-gerakan kiri bukan komunis dan lain-lain kumpulan radikal. Saranan Gramsci itu digunapakai oleh golongan mazhab Frankfurt apabila gerakan liberalisasi mereka turut menggerakkan kumpulan-kumpulan feminis, alam sekitar, hak asasi, anti-polis, gerakan mahasiswa, hubungan antarabangsa dan sebagainya. Penegasan Gramsci tentang hegemoni budaya yang dapat melahirkan ‘kuasa’ melalui penguasaan minda masyarakat ramai terhadap cita-cita utopia Marxisme telah dilaksanakan melalui penyebaran ‘cultural Marxism’ dan revolusi senyap oleh mazhab Frankfurt.

Pengemukaan tesis tentang ‘authoritarian personality’ yang dikaitkan dengan penguasaan patriaki di dalam sistem kekeluargaan Amerika (white male patriarchal) telah membawa mazhab Frankfurt jauh ke dalam gerakan feminisme, humanisme, pascamoden, pascakolonialisme dan akhir sekali cultural studies. ‘Authoritarian personality’ yang merujuk kepada keburukan sistem sedia ada dan amalan politik-budaya tradisi dipopularkan oleh Herbert Marcuse dan mempengaruhi cita-cita revolusi kumpulan ‘women liberation’ serta ‘new left movement’. Jurang generasi pada tahun 1960-an dan kemudian jurang gender dalam tahun 1990-an telah mengukuhkan kajian terhadap ‘authoritarian personality’ dan menjadi bahagian penting dalam cultural Marxism. Di tangan elit-elit ‘boomer’ ini kemudiannya cultural Marxism telah menukarkan ‘mimpi Amerika’ kepada utopia Marxist dalam konteks gerakan falsafahnya. Elit-elit ‘boomers’ ini atau juga disebut sebagai The New Totalitarian atau New Age Elite Boomers yang kini menguasai institusi-institusi penting di AS dilihat telah melengkapkan cita-cita revolusi senyap mazhab Frankfurt bukan sahaja di AS tetapi juga ke seluruh dunia.

Di Malaysia selepas pasca-krisis Mahathir-Anwar, muncul beberapa kelompok golongan muda yang mula menaja ideal-ideal tentang kebebasan, liberalisasi, dan rasionalisasi. Mereka menuntut ruang kebebasan yang mengatasi bukan sahaja campurtangan politik tetapi juga campurtangan budaya dan agama. Nilai dan norma yang sedia ada tidak terkecuali tradisi dilihat sebagai kota purba yang mengekang kehidupan pascamoden yang bebas daripada sebarang batas dan sempadan. Hubungan Negara yang diikat dengan nilai dan keperibadian Melayu dilihat sebagai bentuk ‘authoritarian personality’ yang menjadi regim budaya-politik lama. Sementara kepercayaan dan agama dianggap sebagai milik peribadi yang hanya wujud sebagai ritual dan bukan sebagai pengawas tingkah masyarakat. Perjuangan emansipasi melalui gerakan feminisme, hak asasi, individualiti, etnik minoriti, dan sebagainya dianggap sebagai misi suci masyarakat pascamoden. Selain daripada itu mereka juga mencari ruang ekspresi di dalam dunia jaring teknologi maklumat, penulisan, muzik, teater dan filem. Mereka menuntut ruang dialog dan tafsiran semula bukan sahaja terhadap nilai, norma dan peraturan di dalam masyarakat tetapi juga di dalam kepercayaan dan agama.
Maka lahir kelompok-kelompok muda di ibukota yang membawa semangat perubahan dan menentang bentuk establishment serta status quo yang dianggap sebagai ‘authoritarian personality’. Kelompok yang menyatukan diri mereka di dalam perjuangan reformasi. Kelompok emansipasi wanita dan hak asasi manusia yang berpegang kepada prinsip liberal dan individualiti. Kelompok yang menentang sebarang bentuk keperibadian kebangsaan termasuk bahasa dan budaya Melayu. Kelompok seniman terutamanya dunia teater dan filem yang kononnya berjuang di luar jalur arus perdana. Kelompok rasional dan liberal yang berpegang kepada prinsip meritokrasi. Dan juga kelompok anti-agama yang berpegang kepada aliran positivisme. Sebuah utopia moden sedang dicipta menjadi matlamat agung.

Tanpa disedari sebuah revolusi senyap juga sedang berlaku secara perlahan-lahan, halus dan sangat sistematik di Malaysia. Kelompok-kelompok muda ini baik secara sedar mahupun tidak sedar iaitu secara naïf (naïve) dan jahil (ignorance) sedang membentuk golongan sosialis baru atau foot soldier kepada gerakan mazhab Frankfurt yang sedang melangsungkan revolusi senyap di seluruh dunia. Sepertimana yang dikatakan oleh Sameer Amen di dalam Obsolescent Capitalism, suatu bentuk socialist front yang terdiri daripada rekrut-rekrut muda harus diwujudkan untuk menjadi kuasa senyap yang menjajah dunia.
Sosialis baru, cultural Marxism, revolusi senyap dan utopia moden adalah realiti hari ini yang sedang menggigit dan memamah tubuh negarabangsa Malaysia tanpa sesiapa sedari.

KETUANAN POLITIK MELAYU DAN KETUANAN EKONOMI CINA

Menariknya Majlis Bicara karya yang berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka pada 31 Mac 2006 yang lalu ialah pandangan dan kupasan daripada dua orang ahli akademik yang cuba melihat isu yang mungkin cukup sensitif untuk diperkatakan ini, melalui sudut pandangan ilmiah. Dengan mengambil pendekatan ilmiah isu ini dapat dilihat dengan lebih jelas baik secara konseptual mahupun secara faktual.

Dr. Thock Ker Pong memperkatakan bukunya Ketuanan Politik Melayu: Pandangan kaum Cina terbitan Penerbit Universiti Malaya tentang ketuanan politik Melayu di Malaysia atau apa yang disebut sebagai Malay political supremacy/dominance. Buku yang terhasil daripada tesis Phd Thock ini mengambil model hegemoni Antonio Gramsci dalam membina kerangka pandangannya terhadap ketuanan politik Melayu. Dominasi politik Melayu yang ditunjangi oleh UMNO ditanggap sebagai hegemoni, iaitu dalam tafsiran Gramsci merupakan dominasi satu kumpulan terhadap kumpulan yang lain melalui satu kepimpinan yang berlandaskan moral dan intelektual yang dicapai dengan paksaan (coercion) mahupun persetujuan (consent). Hakikat kaum Melayu memiliki kekuasaan politik dan kaum Cina mempunyai kelebihan dalam bidang ekonomi meletakkan hubungan kedua-dua kaum ini bersifat persaingan. Thock mengutip kenyataan Shamsul Amri yang menyebut situasi hubungan kedua-dua kaum ini sebagai berada di dalam keadaan state of stable tension. Secara luaran atau permukaan ia adalah tenang namun di dalamnya bergolak perasaan-perasaan yang tegang. Lantaran itu sebahagian sarjana berpendapat bahawa kestabilan yang wujud di Malaysia ini sebenarnya rapuh. Bagi orang Cina ketuanan politik Melayu membuatkan kepentingan-kepentingan kaum Cina menjadi terhakis. Kaum Cina dikatakan mendepani politik penyisihan (politic of exclusion) dan merasakan mereka didiskriminasikan. Hal ini membuat pihak-pihak tertentu di dalam masyarakat Cina memprotes dan menentang dasar-dasar Negara yang pro-Melayu. Namun dari satu sudut masyarakat Cina menyedari bahawa kuasa politik kaum Cina baik di dalam BN mahupun pembangkang tidak berupaya untuk mengubah dasar-dasar Negara yang pro-Melayu. Hal ini membuatkan mereka berada di dalam kebuntuan dan mula bertindak melalui badan-badan persatuan, perkumpulan, dan NGO yang dirujuk sebagai Huatuan di dalam masyarakat Cina.

Ketuanan Melayu secara histriografinya bermula sejak penggubalan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948 yang bertujuan untuk menubuhkan sebuah Negara Melayu. Ia kemudiannya telah diperkasa selepas tahun 1969 di tangan Tun Abdul Razak terutamanya dengan wujudnya DEB. Namun penrealisasian agenda politik Melayu mencapai kemuncaknya pada zaman Tun Dr. Mahathir yang dikatakan seorang nasionalis Melayu yang kuat. Keadaan pada zaman Mahathir memperlihatkan elit-elit politik Cina baik di dalam BN mahupun pembangkang kehilangan kuasa tawar menawar. Walaupun wujudnya percaturan di dalam MCA pada hujung dekad 80-an yang cuba membuat tentangan langsung terhadap ‘hegemoni’ politik Melayu secara drastik namun tindakan Mahathir yang tidak bertolak ansur telah menghentikan semua bentuk isu perkauman. Polisi pembangunan Negara pada dekad 90-an yang bersifat akomodatif dan berjaya mengembangkan ekonomi ke tahap yang luar biasa telah membuatkan perubahan dasar serta pendekatan ke arah cita-cita ekonomi dan bukan lagi sentimen politik kecinaan dalam perjuangan politik kaum Cina. Akhirnya masyarakat Cina terutamanya yang berada di dalam arus MCA menolak untuk berkonfrontasi dengan ‘hegemoni’ politik Melayu tetapi sebaliknya menumpukan kepada pendekatan untuk menjadi sebagai ‘model minoriti’ yang berjaya di dalam negarabangsa Malaysia.

Bagaimanapun masyarakat Cina masih tetap menyuarakan tuntutan-tuntutan yang mewakili kepentingan mereka melalui badan-badan bukan politik iaitu Huatuan atau persatuan besar. Tuntutan-tuntutan ini termasuklah memorandum yang menolak Dasar Kebudayaan Kebangsaan pada Kongres Kebudayaan Cina di Pulau Pinang pada 1983, penetapan matlamat di dalam CRC (Civil Rights Committee) antaranya untuk memansuhkan perbezaan antara ‘bumiputera’ dan ‘bukan bumiputera’ pada tahun 1986, dan juga suqui (rayuan) yang dikaitkan dengan kepentingan eksklusif masyarakat Cina oleh 11 buah pertubuhan utama Cina pada tahun 1999.

Buku ini memberikan sudut pandang yang menarik terhadap hubungan sosiopolitik yang berlaku di Malaysia. Namun sepertimana yang disebut oleh Shamsul Amri Baharuddin dalam kupasannya terhadap buku ini, konsep yang dikemukakan tidak menepati gambaran sebenar situasi yang berlaku di Malaysia. Konsep hegemoni lebih merujuk kepada pertentangan antara kelas bukan persaingan etnik. Persoalan kelas yang boleh dikatakan memainkan peranan secara tersembunyi dalam persaingan etnik ini langsung tidak disentuh. Apabila ia melibatkan dasar-dasar ekonomi, kewujudan jurang antara kelas tidak dapat tidak turut memainkan peranan terhadap ‘situasi tegang’ yang mungkin wujud. Isu perkauman atau persaingan etnik adakalanya diprovokasikan dalam konteks menjaga ‘political survival’ elit-elit politik dan kepentingan kelas atasan.

Satu lagi isu menarik yang ditimbulkan dalam majlis wacana ilmu ini ialah kewujudan ketuanan atau hegemoni politik Melayu pada hakikatnya dibayangi oleh kewujudan ketuanan atau hegemoni ekonomi Cina. Masyarakat Melayu juga secara hakikatnya mengalami penyisihan daripada ruang ekonomi dan boleh juga dikatakan menghadapi ‘politic of exclusion’ dari sudut ekonomi oleh elit-elit ekonomi Cina dan kapitalis-kapitalis Cina. Dominasi ekonomi kaum Cina sama sahaja seperti dominasi politik Melayu juga menekankan pemusatan kepada penguasaan etnik. Ruang ekonomi di Malaysia sama juga dengan ruang politiknya iaitu bersifat orientasi etnik (etnic oriented). Maka jika berlaku (?) diskriminasi terhadap kepentingan kaum Cina maka juga adalah jelas berlakunya diskriminasi terhadap kepentingan ekonomi masyarakat Melayu di Malaysia. Masyarakat Cina menurut Shamsul Amri bukan merupakan golongan minoriti di Malaysia tetapi adalah golongan majoriti yang bersaingan (competing majority). Lalu dalam konteks sosiologinya tidak muncul persoalan diskriminasi terhadap golongan minoriti tetapi ia lebih dilihat sebagai persaingan antara golongan majoriti yang masing-masing mempunyai kelebihan tertentu.

Mitos yang berasas kepada Social Darwinism yang menyatakan bahawa sikap (rajin atau malas dll) manusia bergantung kepada sifat keturunan dan sifat demografinya tidak dapat diterimapakai dalam memperhalusi kegagalan masyarakat Melayu dalam bidang ekonomi. Kedua-dua penguasaan terhadap politik dan ekonomi sebenarnya bergantung kepada kelebihan persekitaran semasa. Persekitaran politik Malaysia yang berasaskan kepada penubuhan sebuah Negara Melayu (asas daripada Perlembagan Persekutuan dan konsesi yang diberikan oleh kolonial Inggeris) memberikan kelebihan politik kepada masyarakat Melayu. Sebaliknya persekitaran taburan orang-orang Cina yang ramai di seluruh dunia dengan pasaran yang amat besar di China memberikan kelebihan dari sudut jaringan maklumat, pasaran dan pergerakan modal kepada masyarakat Cina. Ia tiada kena mengena dengan sifat malas atau rajin masyarakat Melayu atau Cina tetapi sebaliknya pengaruh daripada situasi semasa dan sifat masyarakat majmuk di Malayia yang berorientasi kaum tersebut yang memberikan kelebihan kepada penguasaan masing-masing. Namun kelebihan ini menjadi bahaya apabila sikap mementingkan golongan atau kaum dan kegemaran mencari serta meluas perbezaan terus menjadi amalan di Malaysia. Inilah yang banyak berlaku di dalam dialog dan wacana iaitu kepakaran memperbesarkan perbezaan seringkali menjadi tumpuan yang paling sensasi.

MAHATHIRISME VS BAHASA MELAYU

Khoo Boo Teik melalui bukunya Paradoxes of Mahathirism (1995) melihat ideologi politik Datuk Seri Mahathir Mohamad (kini Tun) sebagai suatu yang dipenuhi paradoks dan enigma. Mahathirisme melihat kepada nalar nasionalisme, kapitalisme, Islam, populisme dan autoritarianisme. Nasionalisme Mahathir dipenuhi paradoks. Daripada ultra Malay yang memperjuangkan perjuangan kebangsaan tanpa kompromi, Mahathir bertukar untuk menentang nasionalisme kemudiannya melalui dasar penswastaan dan dasar ekonomi liberal. Kapitalisme menjelaskan tentang ideologi Mahathir terhadap kekuasaan wang dan modal yang didoktrinkan di dalam pemikiran orang Melayu dan masyarakat Malaysia keseluruhannya. Islam Mahathir pula adalah tafsiran dan pemahaman semula melalui raison d’etre dan bukan lagi agama yang menyatukan semua urusan kehidupan sebagai addin atau tassawur al-kulli. Mahathir lebih mendukung prinsip sekularisme. Populisme menjelaskan sikap Mahathir terhadap keputusan-keputusannya yang kontroversi dan keinginannya terhadap sokongan rakyat secara popular. Sementara autoritarianisme memperlihatkan pemerintahan autokratik dan diktatorik Mahathir sepanjang lebih dua dekad tersebut. Ini semua menjelaskan tentang gelombang mahathirisme yang menukarkan bukan sahaja wajah fizikal Negara dan rakyat Malaysia tetapi juga ruang psikologikal yang membentuk set-set baru di dalam struktur pemikiran dan kepercayaan sebahagian besar masyarakat Malaysia.

Mahathir dilihat sebagai nasionalis yang mempunyai visi besar untuk membawa bangsa dan Negaranya menjadi bangsa dan Negara yang maju di bawah pimpinan kapitalis dan usahawan Melayu (bumiputera) yang ampuh. Dalam masa yang sama Mahathir juga adalah satu watak yang kecewa terhadap pencapaian bangsa Melayu, dan bahkan juga dirinya sendiri. Jon Swain menyebut karakter Mahathir dibentuk secara bawah sedar melalui pernyataannya bahawa Mahathir, “has made an art form of snubbing the Anglophone world because his nationalism almost certainly stems from his early education, when he failed to gain admission to read law in Britain”.

Mahathir membesar bersama visi dan raison d’etre yang tersendiri. Mahathirisme melihat keunggulan Barat – walaupun ia mencemuh dan mengeji tetapi paradoksnya ia adalah contoh dan cita-cita – sebagai satu-satunya model untuk mencapai kemajuan. Kemajuan harus wujud melalui suatu bentuk ‘Renaissance Eropah’ yang berlaku di Malaysia dan menjadi instrumen bagi menjana pembangunan intelektual besar-besaran. Ia kemudiannya mewujudkan kelebihan dan keistimewaan terhadap pemikiran saintifik yang akan menggeraklajukan proses perubahan ke arah kemajuan yang ulung. Mahathir memegang tampuk kuasa pada fasa kedua Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang telah mencapai kemajuan daripada beberapa sudut. Pembinaan fasa kedua DEB oleh Mahathir ‘lari’ daripada perjuangan nasionalisme yang menjadi pengisian fasa pertama DEB kepada binaan ekonomi liberal, sekular dan kontra-nasionalisme. Bagi melaksanakan keputusan ini Mahathir telah membaiki sistem demokratik dengan cara membaiki sistem autoritarian. Fasa kedua DEB ini memperlihatkan apa yang disebut sebagai ‘bureaucratic authoritarian state in newly industrializing country’. Daripada asas-asas pemikiran ini Mahathir kemudiannya menawarkan Wawasan 2020nya yang meletakkan matlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara maju dengan kemajuan perindustrian yang pantas, liberalisasi ekonomi, dan pengaturan semula dasar-dasar sosial. Mahathirisme adalah penciptaan sebuah bangsa Malaysia yang berpaksikan ideal sekularisme, liberalisme dan kapitalisme di bawah subjek authoritarianisme. Ia melihat pergelutan Malaysia di dalam persaingan antarabangsa yang dicengkam simulacrum globalisasi.

Mahathirisme kemudiannya melihat bahasa Melayu sebagai suatu bentuk agen tradisi yang menghalang ke arah cita-cita idealnya. Suatu bentuk renaissance tidak akan muncul jika agen-agen tradisi ini tidak dihapuskan terlebih dahulu. Agen tradisi dilihat sebagai perwakilan kepada kebudayaan atau keperibadian tempatan yang menentang semangat culture of liberalism yang membuatkan pluralisme dapat berfungsi. Pluralisme adalah binaan sifat baru hasil daripada perlakuran kebudayaan, pemikiran dan kepercayaan yang menghancurkan segala bentuk keperibadian, keaslian dan kesahihan sebelum ini. Maka kecelakaan sejarah bahasa Melayu berlaku pada titik pengumuman Mahathir untuk menukarkan bahasa pengantar sains dan matematik kepada bahasa Inggeris. Di situlah puncak kepada pelaksanaan ideal mahathirisme yang memerangi segala bentuk nasionalisme, keperibadian tradisional dan asas-asas bangsa, sejarah dan prinsip kepercayaan demi mewujudkan sebuah metanaratif baru yang disebut sebagai ‘postmodern bourgeois liberalism’.

Kehancuran bahasa Melayu hari ini adalah satu-satunya terletak kepada keputusan politik yang salah. Tiada sebab lain. Keputusan Mahathir untuk menukarkan bahasa pengantar sains dan matematik itulah yang menyebabkan berlakunya kehancuran kepada bahasa Melayu atau bahasa kebangsaan. Maka satu-satunya jalan untuk memperbaiki dan memperkasakan kembali bahasa kebangsaan ialah mengembalikan fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar untuk matapelajaran sains dan matematik sepertimana dahulu. Tiada tindakan yang lebih wajar dan berkesan selain daripada tindakan ini. Mempersalahkan mana-mana pihak, masyarakat dan persekitaran hanya adalah bumbu bombastik yang mengelak daripada melihat hakikat yang sebenar. Mahathirisme tidak dapat dinafikan sebagai sebuah gerakan pemikiran yang amat hebat terhadap gagasan politik dan ekonomi tetapi dalam masa yang sama adalah sebuah kegagalan ideologikal yang paling besar terhadap prinsip ketamadunan. Keputusan melaksanakan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris adalah sebuah Freudian slip seorang Mahathir terhadap kehebatan hegemoni Barat dan bukan cita-cita seluruh rakyat Malaysia. Ia adalah sebuah keputusan autokratik daripada seorang Mahathir yang percaya bahawa matlamat negera terletak di bawah telunjuk seorang ditaktor. Hal ini dapat dilihat daripada kenyataannya dalam ‘Crime for Democracy’, rencana Bob Reece yang mengutip kenyataan Mahathir, Far Eastern Review, 18 September 1969, p. 68. (Khoo Boo Teik, 1995).

Why not call a spade a spade? Why not say bravely that the people of Malaysia are too immature for a workable democracy? Why not say that we need some form of authoritarian rule? We are doing that anyway and it looks as if we are going to do that for a very long time to come…. Authoritarian rule can at least produce a stable strong government…. We must accept that there is not going to be a democracy in Malaysia; there never was and there never will be.

Bahasa Melayu harus kembali kepada fungsi asalnya sebagai bahasa pengantar pendidikan kebangsaan dan bukan seharusnya menjadi korban kepada keputusan salah seorang diktator yang terperangkap di dalam ruang kabur postmodern bourgeois liberalism yang tidak melihat kewujudan demokrasi serta aspirasi kebangsaan bangsa yang merdeka.

Wednesday, June 07, 2006

ANTARA KEPENTINGAN NASIONAL DAN ETNIK

Apabila Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu digubal pada tahun 1948, asas politik yang diletakkan adalah politik perwakilan kaum. Setiap parti politik ditubuhkan untuk mewakili kaum yang terlibat dalam proses politik Tanah Melayu iaitu Melayu, China dan India. Setiap pemimpin politik mewakili suara dan kepentingan kaum masing-masing. Persekutuan antara kaum-kaum ini membentuk Parti Perikatan yang kemudiannya muncul sebagai parti pemerintah sehingga sekarang ini dan bertukar nama menjadi Barisan Nasional. Komponen daripada Barisan Nasional ini ialah parti-parti politik yang mewakili kepentingan kaum Melayu, Cina dan India. Apabila kemerdekaan dicapai sehinggalah wujudnya Malaysia pada 1963, politik perkauman terus menjadi asas kepada proses politik di Malaysia baik dalam entiti parti pemerintah mahupun entiti parti pembangkang. Secara positif, politik perkauman ini menyumbang kepada konsep dan prinsip integrasi nasional dan menolak prinsip asimilasi seperti yang diamalkan oleh beberapa Negara tetangga yang turut berada di dalam gelombang kemerdekaan. Proses integrasi ini dapat membina penyatuan tanpa membuang keperibadian asal mana-mana kaum. Namun kesan negatifnya juga turut wujud apabila perjuangan untuk menegakkan kepentingan kaum masing-masing mula melahirkan sentimen-sentimen perkauman dan akhirnya mewujudkan pihak pelampau perkauman.

Dalam mengukuhkan perpaduan sebuah negarabangsa yang baru dan diasaskan kepada sifat-sifat majmuk itu, maka satu keperibadian yang bersifat nasional atau keperibadian kebangsaan diwujudkan. Ia diwujudkan bagi mengikat sifat-sifat majmuk yang berdasarkan keperibadian etnik ini di bawah satu keperibadian nasional yang dapat dipegang dan dihormati oleh semua warganegara. Walau bagaimanapun keperibadian kebangsaan yang diasaskan kepada keperibadian rumpun alam Melayu mengalami satu proses yang panjang untuk ditanam di dalam hati setiap warganegara terutamanya warganegara daripada etnik bukan Melayu sebagai keperibadian kebangsaan yang menjadi identiti kepada semua rakyat Malaysia.

Hal ini berlaku kerana pemikiran politik berasaskan kepentingan kaum yang menjadi acuan kepada pembinaan negarabangsa Malaysia ini sering melihat segala tindakan politik melalui sudut pandang perkauman. Ia sentiasa melihat sesuatu tindakan secara prejudis dan bias. Politik perkauman yang menjadi asas kepada proses politik ini sebenarnya adalah salinan kepada kerangka kolonialisme Barat yang berasaskan prinsip ‘pecah dan perintah’ (divide and rule). Kerangka pemikiran ini menjelaskan tentang kekuasaan politik yang dapat diperolehi melalui eksploitasi terhadap seberapa banyak perbezaan yang dapat diwujudkan di dalam masyarakat atau rakyat. Saling tidak memahami dan perasaan curiga menjadi senjata yang amat berkesan dalam menguasai ruang politik.

Dua peristiwa yang berlaku baru-baru ini memperlihatkan gelung pemikiran lama yang berasaskan kerangka kolonialisme itu masih menjadi penguasa yang amat perkasa dalam ruang politik Malaysia. Peristiwa warga China didera oleh polis tiba-tiba menjadi isu nasional yang sangat besar adalah contoh tentang bagaimana sentimen perkauman itu telah mengatasi kepentingan nasional. Kes penderaan yang boleh dikatakan sebagai kes terpencil ini diangkat seolah-olah ia menjadi amalan pihak berkuasa yang melakukan diskriminasi terhadap etnik tertentu. Tanpa memikir dan mempertimbangkan kesan terhadap masyarakat dan Negara, isu ini menjadi sentimen parti politik untuk meraih sokongan daripada kaum tertentu yang diwakili mereka. Ini secara tidak langsung memperlihatkan sikap politik yang prejudis dan berkecenderungan chauvinistik dari era lama itu masih kukuh dalam pemikiran dan aplikasi politik Malaysia dalam abad ke-21 ini.
Peristiwa Moorty semakin jelas memperlihatkan bahawa pemikiran politik perkauman (agama) yang dibawa dari era lama itu terus menjadi sandaran dalam menentukan keutamaan tindakan-tindakan politik. Situasi atau isu yang dapat dimanfaatkan untuk mendapat sokongan politik daripada kaum yang diwakili segera menjadi agenda paling penting dalam perjuangan politik melangkau kepentingan nasional. Memorandum dan usul untuk meminda perlembagaan yang melibatkan kuasa mahkamah syariah dan mahkamah sivil di atas perjuangan memenangkan kepentingan kaum telah membelakangkan bukan sahaja perlembagaan yang menubuhkan institusi Negara tetapi juga rukunegara itu sendiri. Tindakan ini dilihat tidak mempedulikan kepentingan nasional yang memperjuangkan kepentingan untuk semua kaum tetapi lebih selesa untuk memberikan keutamaan terhadap kepentingan kaum yang diwakili hatta memusnahkan ikatan Negara yang diasaskan kepada kontrak sosial yang dipersetujui sebagai dasar pembinaan Negara bangsa Malaysia.

Kedua-dua isu ini memperlihatkan realiti politik pada hari ini sedang melebarkan jurang perbezaaan masyarakat dan akhirnya meraih keuntungan politik terhadap perpecahan dan perluasan jurang antara masyarakat tersebut. Sehingga hari ini sentimen perkauman menjadi senjata yang sangat perkasa kepada mana-mana parti politik untuk menguasai ruang politik Malaysia. Oportunis-oportunis politik sentiasa menjadikan sentimen perkauman sebagai ‘tangan dewa’ untuk mencapai cita-cita politik mereka. Bahkan dalam suatu keadaan pemimpin tua yang didesak untuk berundur juga bertindak memainkan sentimen perkauman untuk mempertahankan kuasa beliau di dalam parti dan beliau berhasil.

Pemikiran politik yang berasaskan tradisi lama yang dipertahankan oleh golongan ‘old guards’ ini adalah jelas berasaskan politik perkauman dan sering menjadikan agenda kaum lebih penting daripada agenda nasional. Hal ini dapat diterima dan difahami dalam era abad ke-20 yang lalu sebagai asas memahami sifat-sifat majmuk Negarabangsa yang baru ditubuhkan. Tetapi ia menjadi sesuatu yang janggal dan ketinggalan zaman apabila masih menjadi asas kepada proses politik Malaysia pada abad ke-21 ini. Malaysia telah melalui satu bentuk pembinaan masyarakat majmuk yang telah sampai kepada peringkat terhapusnya dikotomi ‘peribumi dan pendatang’ yang menjadi tembok pemisah besar pada suatu ketika dahulu. Generasi yang ada di Malaysia pada hari ini adalah generasi yang lahir dan membesar di Negara ini dan mengecapi sepenuhnya suasana kehidupan di dalam Negara Malaysia. Generasi hari ini tanpa mengira apa kaum pun tidak mempunyai sebarang tanahair yang lain selain daripada Malaysia. Maka adalah suatu hal yang malang apabila kerangka pemikiran politik yang berasaskan kepentingan kaum itu masih menjadi teras amalan politik dan kehidupan di Malaysia.

Malaysia hari memerlukan kehadiran golongan ‘young guards’ yang dapat memansuhkan kerangka-kerangka pemikiran politik lama dan usang serta tidak sesuai lagi untuk menjadi asas kepada pembinaan Negara pada abad yang lebih memperhatikan persaingan global ini. Suatu bentuk kerangka pemikiran politik yang meletakkan individu sebagai unit universal dilihat lebih praktikal daripada meletakkan individu sebagai unit parochial yang terikat kepada batas biologi dalam konteks persaingan dan komunikasi global hari ini. Kewajaran ini adalah berasaskan proses semulajadi yang sentiasa berlaku dalam kehidupan alam dan manusia iaitu proses evolusi dan kelahiran suasana-suasana baru. Kerangka pemikiran baru ini harus melihat sesuatu tindakan daripada aspek nasional atau keseluruhan dan bukan lagi dari sudut pandang terpencil dan etnosentrik yang usang. Menerimapakai sentimen-sentimen perkauman daripada kerangka pemikiran politik golongan ‘old guards’ adalah satu tindakan yang melangkah ke belakang dan menafikan evolusi politik dan masyarakat yang berlaku. Jika ini masih terus berlaku maka masyarakat dan kehidupan politik di Malaysia akan melalui suatu lagi bentuk proses semulajadi, iaitu – proses pemfosilan.

‘MAHARAJA’ DI DALAM PERSATUAN BELIA


Seorang Maharaja China yang agung Shih Huan Ti terkenal dengan pembinaan Tembok Besar Negeri China dan maharaja yang pertama dapat menyatukan seluruh China yang berpecah belah pada ketika itu. Shih Huan Ti memerintah dengan kejam sekali. Ratusan ribu buruh dan banduan mati ketika membina Tembok Besar. Shih Huan Ti membunuh musuh-musuhnya dengan kejam. Seluruh keluarga bahkan semua penduduk kota atau kampung akan dibunuhnya jika terdapat penentangnya di kalangan mereka. Menjelang hari-hari terakhir hidupnya Shih Huan Ti mengerahkan panglima-panglimanya mencari air hikmat yang boleh menjadikannya hidup selamanya. Shih Huan Ti tidak mahu melepaskan kuasanya. Shih Huan Ti juga mengarahkan dibina ribuan patung tentera, kuda dan istana untuk disemadikan bersamanya. Kerana Shih Huan Ti berharap dia akan terus menjadi maharaja agung setelah mati pun. Shih Huan Ti mahu berkuasa selama-lamanya walaupun setelah dia mati. Kuasa bagi Shih Huan Ti adalah miliknya yang kekal. Shih Huan Ti dikatakan mati dalam keadaan yang tidak berapa siuman.
Pergolakan di dalam persatuan belia sejak akhir-akhir ini lebih menjurus kepada kompleksiti yang dialami oleh Shih Huan Ti. Kompleksiti manusia yang melihat kuasa adalah milik kekal mereka. Malah jika boleh, seperti Shih Huan Ti mereka juga mahu berkuasa walaupun reput ditelan tanah. Inilah komplesiti pemimpin-pemimpin belia yang amat parah dan tenat tersebut.
Umur 45 tahun adalah batas yang paling objektif dalam mendefinisikan had usia belia. Persatuan belia wajib dipimpin oleh golongan belia bukan oleh ‘maharaja’ yang sakit seperti Shih Huan Ti. Apabila persatuan belia dipimpin oleh pemimpin yang sudah tidak menjadi belia lagi maka fungsi persatuan belia juga tidak akan terarah lagi kepada kepentingan dan pembangunan belia sebaliknya menjadi flatform kepada kepentingan peribadi pemimpin tua tersebut. Pemimpin belia harus terdiri daripada golongan belia itu sendiri, kerana mereka lebih memahami keperluan dan kehendak golongan belia. Lebih daripada itu persatuan belia adalah ruang kepada pembentukan golongan pelapis yang akan mengambilalih kepimpinan pada masa akan datang. Apabila pemimpin persatuan belia dipegang terus-menerus oleh pemimpin yang sama tanpa had dan batas usia maka ruang untuk melatih pemimpin muda telah ditutup rapat.
Seorang pengkaji dalam bidang linguistik Benjamin L. Whorf menegaskan bahawa manusia melihat dunia dan realiti kewujudannya dari segi pemikiran dan kesedarannya. Realiti pula mempunyai lapisan dan peringkat yang boleh disusun dalam bentuk yang disebut sebagai ‘concentric circles’ atau bulatan sepusat. Bulatan yang terkedalam merupakan realiti yang paling hampir dengan diri. Kemudian lapisan bulatan realiti itu meningkat-ningkat keluar semakin jauh sehingga bulatan realiti yang terkeluar sekali merupakan realiti yang paling jauh dari diri. Luar bulatan adalah ruang di luar ruang litup realiti dan kesedaran diri. Realiti terkedalam adalah subjek yang paling hampir dengan cerapan kefahaman sementara realiti yang paling jauh adalah subjek yang samar ehwalnya dan sedikit pengetahuan terhadapnya.
Pemimpin muda dalam lingkungan umur belia merupakan bulatan ke dalam yang lebih tahu dan rapat dengan permasalahan belia. Mereka berada di dalam realiti terkedalam iaitu subjek yang paling hampir dengan cerapan kefahaman permasalahan belia. Sementara pemimpin tua yang melepasi objektif had umur ini adalah realiti yang paling jauh dan merupakan subjek yang samar ehwalnya dan sedikit pengetahuan terhadap segala permasalahan belia. Maka mereka tentunya bukan calon yang layak lagi untuk memimpin persatuan belia.
Dalam pada itu, perkara kedua yang sering menghantui kegiatan NGO termasuk persatuan belia ialah campurtangan politik atau penglibatan orang politik dalam menentukan hala tuju dan kepentingan badan-badan tersebut. Adalah menjadi satu hal yang sangat malang apabila keputusan-keputusan politik menjadi pencatur kepada matlamat dan gerakan persatuan belia yang bersifat NGO ini. Kepentingan belia tidak harus dikorbankan oleh kepentingan politik mana-mana pihak. Apabila kepentingan politik yang bersifat partisan itu diletakkan sebagai matlamat yang paling asas, maka kepentingan belia yang bersifat neutral dan semulajadi akan ditindas. Menurut Tan Sri Mohd Ghazali Shafei dalam satu petikan ucapannya berkenaan pembangunan belia, beliau menyatakan apabila pembangunan belia tidak diasaskan kepada kesedaran dan hasrat Negara tetapi sebaliknya kerana didorong oleh nafsu tamak akan kekayaan dan keselesaan diri sendiri atau mana-mana kumpulan tertentu, maka pembangunan belia itu sendiri akan mewujudkan apa yang disebut sebagai ‘counter-productive’, yang dalam ertikata lain, pembangunan yang dibawa itu boleh membawa kegelisahan dan penentangan daripada belia itu sendiri.
Petikan ini tepat untuk menyatakan bahawa kepimpinan belia yang berdiri di atas kepentingan individu dan partisan akan membawa penentangan daripada belia sendiri. Penentangan ini boleh berlaku secara langsung mahupun tidak langsung. Secara langsung ia akan mewujudkan segolongan belia yang cenderung kepada radikalisme sementara secara tidak langsung ia akan menjauhkan sebilangan besar daripada golongan belia untuk menyertai mana-mana persatuan belia. Hal ini semuanya akan menimbukan kesan negatif terhadap pembangunan belia. Penglibatan politik partisan di dalam persatuan belia dan lebih buruk lagi apabila ia melibatkan usaha mendapatkan mileage politik tertentu dalam konteks kepentingan peribadi akan mengakibatkan kemerosotan dan kemunduran pemikiran bukan sahaja di dalam persatuan belia tersebut bahkan dalam diri belia-belia itu sendiri. Kepimpinan belia pada hari ini harus diterajui oleh golongan belia yang secara objektif di dalam had umur di bawah 45 tahun, tidak berpihak kepada mana-mana kepentingan politik partisan, neutral dalam ertikata lain tidak condong membuta tuli kepada satu-satu ideologi secara fanatik dan melampau, dan akhir sekali tidak memperjuangkan sebarang kepentingan peribadi atau menjadikan ia mileage kepada kepentingan lain.
Persatuan belia selalunya dilihat sebagai landasan kepada kuasa dan kepentingan yang lebih besar. Apabila pemimpin yang melihat kepada kepentingan ini gagal melompat ke ruang besar tersebut maka merupakan suatu hal yang penting untuk mereka berusaha mengekalkan kedudukan mereka agar terus berada di dalam persatuan belia. Ini selain daripada memberikan mereka peluang untuk terus mencuba, juga dapat menyelamatkan mereka daripada ‘lenyap dan pupus’. Kebanyakan pemimpin persatuan belia yang ‘gagal’ ini merupakan mereka yang tidak mempunyai kebolehan dan keupayaan untuk melonjak ke dalam ruang yang lebih besar. Lantaran itu mereka tidak mampu untuk menjadi dewasa dan terpaksa bergantung kepada dunia belia dengan menyamar menjadi belia yang bocah itu selama-lamanya. Analogi ‘maharaja’ tersebut mungkin melihat secara terpencil terhadap apa yang berlaku dalam kepimpinan belia hari ini tetapi dari sisi yang lain ia juga boleh menjadi anologi yang umum terhadap kepimpinan pada peringkat yang lebih besar. Tetapi apa yang paling ingin dinyatakan di sini bahawa pemimpin-pemimpin belia yang sudah melewati usia belia dan membawa kepentingan peribadi demi mileage politik tertentu harus segera meletakkan jawatan mereka untuk memberi ruang kepada kepimpinan muda yang non-partisan, neutral dan lebih akrab dengan permasalahan belia. Jika tidak mereka hanya akan tenggelam dalam kompleksiti ‘maharaja’ yang boleh saja mula membina patung dan istana untuk dibawa bersama ke makam mereka.
Lebih malang, mereka jauh lebih kerdil dan kecil daripada Shih Huan Ti untuk membina sebarang makam yang dapat memuatkan segala patung dan istana.